Skip to main content
Mohammed Shafiq Graduan Dwi-Ijazah UMP- HsKA Aktif Sukan

Mohammed Shafiq Graduan Dwi-Ijazah UMP- HsKA Aktif Sukan

Kuantan, 16 November – Pengajian Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif hasil kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA), Jerman sering dianggap program yang agak sukar bagi sesetengah pendapat. 

Namun, Mohamed Shafiq Abd Salim,24, berjaya membuktikan ianya bukan halangan buatnya yang berjaya dengan cemerlang juga aktif dalam kegiatan sukan. 

Beliau hadir menerima dwi-ijazah bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-14 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti, UMP Gambang baru-baru ini. 

Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA) ini merupakan pemenang pingat perak untuk skuad memanah dalam Kejohanan Memanah Piala YDP BKM DBKL ke-52 tahun ini. 

Beliau juga pernah meraih pingat 4th Place Compound Men dalam Johor International Archery open,  pingat gangsa Compound Team Event,  Kejohanan Sukan IPT Pantai Timur (SIPTAR), pingat gangsa UMP Indoor Open, ke-5 keseluruhan terbaik  Compound Men Macau Indoor Open, pingat gangsa 50m qualifying dalam Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan pingat gangsa pasukan campuran Terbuka Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Ramai orang beranggapan bila terlalu aktif dalam kokurikulum, susah untuk memberi fokus kepada akademik. Namun bagi saya, perancangan masa dan pembahagian waktu itu sangat penting. Cuba untuk mendisiplinkan diri dengan jadual dan menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan merupakan antara faktor penting untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.

Bagi Mohammad Shafiq, tiada perkara yang mustahil jika dilaksanakan dengan betul dan penuh minat dan tiada apa yang susah untuk belajar jika betul-betul minat. Anak kelahiran Mersing, Johor ini juga pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak dua kali sepanjang menuntut di UMP.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, ujarnya beliau masih dalam pertimbangan dan berkira-kira sama ada untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya memandangkan beliau kini baharu menamatkan latihan di Korea.

Kini tumpuan akan diberikan terhadap pertandingan yang akan berlangsung pada hujung November ini iaitu 15th Sarawak Indoor Archery Championship dan UMP-Excella International Indoor Archery Championship 3.0 serta beberapa sirkit pertandingan di peringkat kebangsaan. Selamat Maju Jaya buat Mohammed Shafiq!.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri