Skip to main content
Nurul Nadiah Tujuh Kali Anugerah Dekan Dua Terima Anugerah Kecemerlangan

Nurul Nadiah Tujuh Kali Anugerah Dekan Dua Terima Anugerah Kecemerlangan

Kuantan, 16 November - Kecemerlangan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Nurul Nadiah Abdul Halim, 24, yang memperoleh Anugerah Dekan untuk tujuh semester berturut-turut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam benar-benar membanggakan kedua ibu bapa beliau.

Anak sulung kepada pasangan Abdul Halim Abdul Hamid dan Hayati Idayu Mohd Yusoff ini memegang falsafah hidup untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi dan menjadi individu yang boleh menyumbang kepada perkembangan bangsa, ekonomi dan negara.

Ketika ditanya tentang rahsia kecemerlangannya, Nurul Nadiah berkata, beliau sentiasa membuat persediaan awal, rajin bertanya dan mencari rujukan, memberi komitmen, fokus dan tawakal. Beliau telah terpilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan UMP Holdings Sdn Bhd dan Anugerah Srikandi Matahari sempena Hari Konvokesyen UMP yang ke-14 baru-baru ini. 

Nurul Nadiah turut aktif dalam kokurikulum sepanjang pengajiannya di UMP, malah pernah menyandang jawatan Naib Presiden untuk program Earth Week 2018 dan program Lanjuran Interaksi Bersama Sekretariat EOSH USM 2017. Beliau juga minat dalam kerja kesukarelawanan yang mana pernah terlibat sebagai sukarelawan dalam Karnival Sukan Bank Rakyat, Program Koi Sayang Alam Sekitar dan Penanaman Semula Pokok Hutan Daerah Bera Fasa 5.

Beliau turut aktif menyertai pertandingan berbentuk penyelidikan antaranya Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX), International Festival of Innovation on Green Technology & Ideas (i-FINOG) dan International Innovation & Technology Exhibition (ITEX).

“Pencapaian yang paling membanggakan apabila saya dan ahli kumpulan berjaya meraih pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta UMP (CITREX) 2019. Kami telah menghantar dua penyertaan dan salah satunya menang pingat gangsa. Segala usaha dan kerja keras saya dan ahli kumpulan untuk menyiapkan projek tersebut dirasakan sangat berbaloi” ujarnya lagi.

Ketika ini beliau berkhidmat sebagai jurutera awam dan struktur di sebuah firma konsultan di bandar Kuantan. Nadiah turut menyimpan cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Disediakan Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri