Skip to main content

Pengorbanan Buat Ayah

Kuantan, 25 November– Kisah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) Fakulti Komputeran Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Nur Alif Re’dzuan, 24 yang sanggup berhenti kerja sebagai Pengaturcara & Pereka Grafik di sebuah syarikat di Cyberjaya bagi menjaga ayahnya Re'dzuan Yusof, 59, yang terlantar sakit selepas melakukan pembedahan di bahagian otaknya akibat dari penyakit Left Aneurysm sejak April  lalu pernah tular di media sosial  sebelum ini.

Ujarnya, sebagai anak sulung daripada dua adik-beradik sememangya menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga ayah sehingga sembuh. Apatah lagi sejak arwah ibunya meninggalkan mereka, ayahlah yang banyak berkorban untuk membesarkan mereka.

“Saya masih ingat lagi, arwah ibu meninggalkan kami tatkala saya berada di  tahun satu pengajian di UMP, masih terbayang kata-kata arwah ibu semasa menghantar di hari pendaftaran yang ingin melihat saya berjaya dan dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti. Ayahlah yang banyak memberi semangat dan berpesan agar pelajaran mesti diteruskan walaupun ibu sudah tiada,” katanya.

Dengan kata-kata itu, beliau bangkit belajar sehingga tamat pengajian dan berjaya ditawarkan bekerja di Cyberjaya. Namun tidak lama kemudian beliau dikejutkan dengan berita ayahnya demam dan penyakit darah  tinggi semakin teruk sehingga menyebabkan urat di kepala membengkak.Selepas pembedahan di kepala ayahnya, keadaan ayahnya semakin membimbangkan dan perlu jagaan sepenuh masa sehingga terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi menjaga ayahnya. 

“Bagi saya untuk menguruskan ayah sememangnya memerlukan kesabaran dan kadang-kadang memerlukan dua orang untuk membantu terutamanya untuk mengangkat ayah semasa temu janji di hospital kerana semua pergerakan ayah menggunakan kerusi roda,” ujarnya.

Hasratnya untuk meraikan kejayaan di pentas konvokesyen dengan ditemani ayah dan keluarga serta teman-teman seperjuangan terpaksa dilupakan memandangkan keadaan ayahnya tidak mengizinkan untuk ditinggalkan. Namun, beliau tidak menyangka saudara-maranya sungguh-sungguh inginkan Muhammad Nur Alif naik ke pentas untuk menerima ijazah di Majlis Konvokesyen UMP ke-14 baru-baru ini. Malahan mereka sanggup memberikan sumbangan kewangan dan tenaga menjaga ayah sepanjang beliau tiada.

Tatkala graduan lain hadir ke majlis konvokesyen bersama keluarga masing-masing, Muhammad Nur Alif menaiki bas bersendirian dari Ipoh, Perak menuju ke UMP bagi menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-14 baru-baru ini. Beliau juga amat bersyukur kerana rakannya, Helmi Hanoin sudi menumpangkannya untuk tinggal di rumahnya sementara menanti majlis konvokesyen berlangsung.

Memanfaatkan kepakarannya dalam reka bentuk grafik, beliau kini melakukan kerja-kerja membuat reka bentuk grafik dan multimedia di rumahnya yang terletak di Taman Malar Ulu Kinta Perak. 

Dalam masa yang sama, beliau menghargai bantuan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Perak dan semua yang banyak membantu mereka sekeluarga. Kini tahap ayah semakin pulih dan sedang melalui rawatan fisioterapi serta berharap agar ayahnya kembali sembuh seperti sedia kala. “Cabaran ini amat berat untuk  ditempuhi tetapi yakin dan percaya pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri