Skip to main content

Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari dimasyhurkan Pro Canselor UMP

Kuantan, 16 November- Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dimasyhurkan sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersempena Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 yang disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah A-Musta’in Billah  yang merupakan Canselor UMP yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP.

Dalam majlis ini, baginda turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Maklumat kepada Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Berhad, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib sebagai pengiktirafan terhadap ketokohan, sumbangan dan kepimpinan dalam lapangan pentadbiran, transformasi organisasi, teknologi dan inovasi, serta pembangunan khususnya di universiti selama ini.

Dalam titahnya, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada graduan dan keluarga yang turut serta meraikan kejayaan yang bakal mengorak masa depan graduan. Tidak ketinggalan, penghargaan besar kepada para pensyarah dan guru yang komited mendidik anak-anak selama ini.

“Beta juga menyeru kepada para graduan sentiasa menggunakan ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi bagi memanfaatkan setiap peluang yang diberikan kepada mereka untuk mencipta kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Jadilah warganegara yang sentiasa menyumbang ke arah kemajuan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda berharap agar dapat menberikan perhatian yang serius terhadap pendidikan tinggi negara berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pembangunan dalam bidang strategik termasuklah dalam bidang kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang mampu melonjakkan melonjakkan negara ke pringkat yang lebih tinggi.

Bagi Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dinobatkan buat graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik & Multimedia) dengan kepujian, Azriel Tan Zhe Khen dan Umi Fatiha Md Kosnin @ Md Seropil pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan  (Kepujian) Teknologi Bahan.

Anugerah Canselor dianugerahkan kepada Khairun Nisa Mazlan graduan Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian dan Lai Chor Kiew graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan kepujian dianugerahkan Anugerah Naib Canselor manakala Anugerah Emas Universiti dianugerahkan buat Janet Jong Jin Joo pengajian Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dan Khaizuran Aqhar Ubaidillah graduan Diploma Sains Komputer.

Baginda turut mengurniakan Anugerah Anumerta kepada Roslan Jodin, bapa mewakili allahyarham Mohd. Hakim Roslan iaitu graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 25 Jun lalu dan anugerah disampaikan di Kamar Dewan Kompleks Sukan UMP.

Buat julung kalinya seramai 35 orang graduan sulung Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) yang terdiri daripada personal yang terlibat secara langsung dengan inisiatif pengurusan dan pembangunan bakat kepimpinan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal bergraduasi hasil program kerjasama pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education (UMPA) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), KPM.

Majlis Konvokesyen UMP menyaksikan seramai 3782 graduan UMP yang terdiri daripada 2106 graduan ijazah sarjana muda, dwiijazah dan francais, 77 ijazah kedoktoran, 158 ijazah sarjana, 527 diploma dan seramai 914 program pengajian eksekutif dan professional di bawah pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 pada majlis yang berlangsung pada 16 November dan 17 November di Kompleks Sukan UMP. Majlis dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri