Skip to main content

UMP Valid8 bagi 2773 graduan dilengkapi Teknologi Blockchain

Kuantan, 9 November- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menggunakan Teknologi Blockchain bagi Pengesahan Perakuan Sijil UMP Valid8 yang bakal memanfaatkan 2773 graduan yang akan bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-13 yang berlangsung mulai 10 dan 11 November ini di Kompleks Sukan UMP Gambang.

 

Menurut Naib Canselor UMP, UMP Valid8 merupakan satu aplikasi pengesahan ketulinan ijazah berasaskan Kod QR yang akan digunakan untuk mengesahkan sijil ijazah graduan. Setiap sijil dilengkapi satu Kod QR yang unik bagi memastikan kesahihan sijil graduan berkenaan. Dengan imbasan dari Kod QR ini, ianya akan memaparkan gambar graduan, nama penuh, program pengajian dan tahun anugerah. Kod QR itu sendiri akan menjadi satu rantaian rekod data blockchain yang sulit yang mana ianya   menyimpan semua maklumat graduan mengunakan Teknologi Blockchain.

 

“Sistem yang dibangunkan ini mempunyai fungsi yang merekodkan maklumat pendidikan graduan UMP. Aplikasi mudah alih yang dihasilkan dapat mengesahkan kesahihan sesebuah ijazah menggunakan kod QR pada ijazah tersebut. Semua data graduan disimpan dalam bentuk Blockchain yang tidak dapat digodam atau dipalsukan,” katanya.

 

Selain itu juga, konvokesyen kali ini juga buat pertama kalinya UMP juga memperkenalkan e-Book Konvokesyen sebagai amalan hijau dan seiring dengan penggunaan teknologi, para ibu bapa, graduan, pelajar dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat pantas berkaitan majlis konvokesyen dalam e-Book menggunakan aplikasi UMP Convocation dengan capaian Android (versi 4.0 ke atas) dan iOS (versi 8.0 ke atas).

 

Beliau hadir dalam Sidang Media Memperkenalkan Graduan Cemerlang dan Perasmian UMP Valid8 bersempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-13 UMP. Turut hadir Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan naib canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Prof. Madya Dr. Mohd. Ridzuan Darun, Ketua Pegawai Operasi UMP merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid dan Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM, Dr. Mohamed Ariff Ameedeen.

 

Malahan Projek Perintis ini dijalankan pihak Pusat Kecemerlangan IBM yang mempunyai kepakaran IT bersama kumpulan Alumni UMP dengan kerjasama pihak Fakulti Pengurusan Industri (FIM) yang mempunyai kepakaran dalam Supply Chain. 

Malahan, berkongsi kepakaran universiti ini turut juga meneroka potensi Teknologi Blockchains bagi membangunkan sistem pengurusan rantaian bekalan halal yang berdaya saing selain mensasarkan untuk merekabentuk sistem teknikal berkaitan industri halal untuk dikomersialkan. Penggunaan aplikasi ini akan digunakan lebih luas dalam ekosistem Institusi Pendidikan Tinggi Negara dan juga rakan-rakan universiti dan industri di Malaysia serta di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Dengan kepakaran ini UMP juga menawarkan khidmat Blockchain Certificate Authentication kepada mana-mana institusi atau agensi yang ingin berkolaborasi.

 

Dalam pada itu, UMP mengumumkan seramai 28 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan universiti atas pencapaian akademik, sumbangan khidmat komuniti serta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.  Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Joanne Bong Shan Shan dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Umi Zaidatul Azeera Mohd Nawi dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP). Manakala Tan Jia Shun dari FPI dinobatkan Anugerah Canselor dan Lee Wei Keat dari FSKKP menerima  Anugerah Naib Canselor. Lain-Lain anugerah adalah Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat- Program Profesional/Eksekutif yang dianugerahkan kepada YM Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan Kumaran A/L Alagamuthu Nadar dari UMP Advanced.

Manakala anugerah lain termasuklah Anugerah Emas, Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff , Anugerah Srikandi Matahari, Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita,  Anugerah Kecemerlangan Hei Tech,  Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee, Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad, Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad, Anugerah Kecemerlangan Perodua, Anugerah Kecemerlangan Dimension Bid dan Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga. Manakala hadiah kecemerlangan industri adalah Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang, Hadiah Kecemerlangan Program Dwi –Ijazah sumbangan Association of German Engineers, Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd  dan Hadiah Kecemerlangan Setegap Ventures Petroleum Sdn. Bhd.   

Dalam majlis itu nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah  yang merupakan Canselor UMP akan mencemar duli mengurniakan ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) kepada mantan Pengarah Urusan Motorola Solutions Sdn. Bhd, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan beliau.

UMP akan meraikan seramai 2773 graduan yang akan menerima ijazah dan diploma masing- masing. Daripada jumlah ini seramai 63 orang merupakan graduan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD), 172 orang graduan Sarjana, 221 graduan Sarjana Eksekutif, 52 orang Bacelor Eksekutif, 1713 orang graduan Sarjana Muda, 40 graduan Dwi Ijazah,  270 orang graduan Diploma dan 242 orang graduan Diploma Eksekutif membabitkan sembilan fakulti dan dua pusat pengajian.

TAGS / KEYWORDS