Skip to main content

Nur Athirah Siswazah Kejuruteraan Ceburi Bidang Perniagaan Kuih Kapit

Siswazah Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), Nur Athirah Mohamed Basri yang minat menceburi bidang perniagaan membuktikan kesibukan dalam pengajian bukan halangan buatnya menghasikan produk Kuih Kapit Dap Dap yang kian digemari ramai.

Berasal dari Paloh Hinai, Pekan kini boleh berbangga dengan pencapaiannya setelah dua tahun mula berjinak-jinak dengan perniagaan ini. Bagi beliau, seorang mahasiswa itu perlu bergerak pantas seiring dengan peredaran waktu malahan turut mengikut keadaan ekonomi pada masa ini.

“Tiada lagi jaminan mahasiswa akan mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian. Oleh itu, mahasiswa perlu bergerak dari bawah dan bijak merebut peluang perniagaan semasa menuntut,” katanya.

Mengimbau kembali penglibatan awal dalam perniagaan ini, Nur Athirah berkata ianya bermula dari minatnya yang amat menggemari kuih kapit yang berinti. Dari situ, timbulnya ilham dalam menghasilkan kuih kapit serta mengolah resipi kuih kapit yang menjadi kegemaran ramai.

Nur Athirah atau lebih dikenali dengan panggilan Eroh berkata, beliau telah menjalankan kajian dan ujian selama tiga bulan bagi memastikan kekemasan, ketahanan kuih serta kerangupan kuih ini agar dapat dikekalkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada awal perniagaannya, beliau hanya mengeluarkan sebanyak tiga jenis perisa kuih kapit iaitu perisa ‘original’, coklat serta mentega. Namun selepas mendapat permintaan yang tinggi, kini terdapat enam jenis perisa kuih kapit yang dihasilkan terdiri termasuklah campuran coklat dan mentega, coklat badam serta campuran coklat mentega biji labu dan badam.

Mengulas mengenai pengeluaran Kuih Kapit Dap Dap, Nur Athirah berkata ianya bergantung kepada permintaan semasa yang mana platform perniagaan secara atas talian merupakan sasaran utamanya.

“Kebiasanya pada hari biasa, saya mampu menghasilkan hampir 50 balang kuih kapit namun jumlah permintaan akan meningkat apabila tiba musim perayaan,” katanya. Harga yang ditawarkan cukup berbaloi antara RM 8 hingga RM 35 sebalang bergantung kepada saiz bekas dan perisa.

Tambah beliau, mahasiswa perlu bijak membahagikan masa untuk pengkuliahan dan perniagaan memandangkan kedua-duanya memerlukan pengorbanan juga perlu diurus dengan baik.  

Bagi mahasiswa yang berminat untuk memulakan perniagaan atau berhasrat mendapatkan Kuih Kapit Dap Dap ini boleh berkunjung ke Kedai Dr Kuih Kapit yang terletak di Taman Selasih, Paloh Hinai atau Taman Tas atau layari Facebook Kuih Kapit Dapdap oleh Eroh Basir.

Berita disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim