Skip to main content

Belanjawan 2021 – Perkasa Ekonomi dan Prihatin Rakyat di Era COVID-19

Tema belanjawan 2021 iaitu ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ sangat bertepatan dengan usaha kerajaan bagi memastikan belanjawan terbaharu ini dapat memulihkan kembali keadaan ekonomi yang terjejas di kala negara sedang hebat memerangi pandemic COVID-19. Belanjawan ini adalah kesinambungan dari pelbagai dasar pemulihan ekonomi yang telah diperkenalkan sebelum ini sepanjang negara menghadapi krisis COVID-19 iaitu Pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA dan KITA PRIHATIN. Belanjawan 2021 ini berasaskan tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
 
Seperti yang telah dijangka, belanjawan ini adalah bersifat mengembang (expansionary) dengan tumpuan utama untuk memulihkan semula kedudukan ekonomi negara secara keseluruhannya. Beberapa dasar yang menarik perhatian telah diutarakan dalam belanjawan ini iaitu melibatkan beberapa dasar utama negara:
 
Memperkasakan sektor kesihatan dalam memerangi COVID-19
Antara tumpuan utama belanjawan kali ini adalah memperkukuhkan sektor kesihatan yang menjadi pendinding utama negara dalam mengawal penularan COVID-19 di Malaysia. Peruntukan yang tinggi di dalam sektor ini julang kali berlaku. Malah, bagi peruntukan untuk menghadapi gelombang ketiga COVID-19, sebanyak RM1 bilion telah disediakan bagi menyediakan kit saringan, peralatan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan bekalan ujian makmal dalam menghadapi krisis ini. Malah, kerajaan juga telah memperluaskan perlindungan insurans kesihatan bagi golongan B40 melalui mySALAM yang dapat membantu meringankan beban kewangan golongan ini dalam menghadapi masalah kesihatan kritikal.

Pihak kerajaan turut tidak melupakan jasa para petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus lumus memerangi virus COVID-19 dengan meneruskan pembayaran elaun COVID-19 sebanyak RM600, ditambah pula dengan pemberian one-off sebanyak RM500. Ini sudah tentu dapat menyuntik semangat mereka untuk terus komited dalam menjalankan tugas yang sangat mencabar ini.
 
Kesejahteran rakyat

Pelbagai peruntukan disediakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan terutama bagi golongan sasaran. Malah, belanjawan ini dilihat sangat mesra Orang Kurang Upaya (OKU), warga tua, pesakit kritikal, wanita dan kanak-kanak dari keluarga miskin. Kenaikan pelbagai peruntukan diberikan kepada golongan ini dapat membantu meringankan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan kehidupan seharian.
 
Peruntukan yang disediakan kepada golongan B40, M40 dan orang bujang dilihat dapat meningkatkan aliran tunai golongan ini bagi tempoh jangka pendek. Pengenalan Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Bayaran (Moratorium) Bersasar dan Pengeluaran Wang dari Akaun 1 KWSP bersasar juga dapat meningkatkan aliran tunai bagi golongan yang memerlukan terutama bagi mereka yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan ekoran dari keadaan ekonomi yang lembab pada ketika ini. Malah, pengurangan cukai pendapatan dapat meringankan beban kewangan terutama bagi golongan M40. Semua bantuan kewangan yang disarankan ini dapat membantu menggerakkan semula ekonomi negara ke arah pemulihan iaitu melalui peningkatan kuasa beli pengguna dan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dari industri tempatan terutamanya.
 
Mewujudkan peluang pekerjaan baharu
Bagi mengurangkan kadar pengangguran, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM3.7 billion untuk mewujudkan 500 ribu peluang pekerjaan baharu melalui skim JanaKerja dan 50 ribu kerja berstatus kontrak melalui inisiatif MySTEP. Pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Behormat Perdana Menteri akan menyelaras penyediaan pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan latihan (reskilling and upskilling) kepada tenaga buruh terutama di dalam sektor pertanian dan industri baharu seperti industri berasakan teknologi tinggi.
 
Memperkukuhkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan Perniagaan Mikro
Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan Perniagaan Mikro merupakan tulang belakang kepada sektor perindustrian negara. Dalam Belanjawan 2021, kerajaan menyediakan pelbagai inisitif dan bantuan kredit bagi mengukuhkan aliran tunai industri ini seperti pembiayaan JanaNiaga, Skim Lestari Bumi dan Peer-to-Peer. Malah, program subsidi upah juga akan diteruskan bagi tempoh tiga bulan lagi agar dapat membantu meringankan kos yang ditanggung. Selain itu, belanjawan kali ini turut memperkenalkan inisiatif Shop Malaysia Online sebanyak RM150 juta bagi memperkasakan perniagaan dalam talian (e-dagang) oleh pihak PKS dan perniagaan mikro melalui platform e-commerce utama.
 
Memperkasa sektor industri dan perkhidmatan bertaraf tinggi
Kerajaan akan memberikan tumpuan untuk menarik pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi dengan nilai peruntukan sebanyak RM1 billion. Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) turut memperkenalkan Dana Teknologi Tinggi sebanyak RM500 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat berteknologi tinggi dan berinovasi selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Sektor ini dijangkakan menjadi sektor utama negara di masa depan.
 
Memperkasakan pendidikan negara
Bidang pendidikan terus menjadi keutamaan kerajaan dengan peruntukan paling besar dalam Belanjawan 2021 iaitu sebanyak RM50.4 bilion. Selain dari menaik taraf infrastruktur sekolah dan universiti, pelbagai peruntukan juga disediakan untuk memperkasakan pembelajaran dalam talian. Peruntukan sebanyak RM150 juta dari sumbangan pihak swasta kepada Tabung Cerdik melalui pemberian komputer riba kepada 150 ribu pelajar dilihat satu langkah ke arah memperkasakan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah. Malah, peruntukan sebanyak RM500 juta bagi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) meliputi kesalinghubungan internet di 430 buah sekolah seluruh negara mampu mempertingkatkan pembelajaran dalam talian. Manakala di peringkat pengajian tinggi pula kerajaan turut memperuntukan RM50 juta untuk menarik taraf talian akses Malaysian Education & Research Network (MYREN) serta peruntukan pembiayaan skim BSN MyRinggit-i COMSIS turut diperkenalkan bagi pembelian komputer riba dalam kalangan penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tindakan ini dilihat dapat memperkasakan pembelajaran dalam talian sesuai dengan keadaan negara yang masih belum pulih sepenuhnya dari krisis COVID-19.
 
Kesimpulannya, pelbagai peruntukan telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi memperbaiki kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan memulihkan sektor ekonomi dengan peruntukan terbesar di dalam sejarah belanjawan Malaysia iaitu sebanyak RM322.5 bilion. Walau bagaimanapun, tanpa penstrukturan baharu cukai seperti GST diperkenalkan, maka dijangka kita akan melihat penurunan perolehan hasil kerajaan bagi menampung jumlah perbelanjaan yang sangat besar akan membawa kepada defisit fiskal. Oleh itu, perlaksanaan perbelanjaan peruntukan belanjawan ini perlu dilakukan secara telus bagi memastikan masalah ketirisan dapat di atasi. Hal ini membantu kerajaan memaksimumkan integriti dalam pengurusan kewangan dan memberi kesan limpahan yang baik secara makro kepada negara. Oleh itu, penilaian dan pemantauan berterusan dari pihak kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan masalah ketirisan dapat diminimumkan.

 Belanjawan 2021 – Perkasa Ekonomi dan Prihatin Rakyat di Era COVID-19

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
Disediakan Oleh: Dr. Noraina Mazuin Sapuan
e-mel: noraina@ump.edu.my

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News