Skip to main content
Beza antara Alkohol dan Arak

Beza antara Alkohol dan Arak

           Dalam suasana seluruh dunia termasuk negara kita dilanda wabak Coronovirus 19 (Covid-19), hand sanitizer digunakan secara meluas oleh ahli masyarakat di pelbagai tempat khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai. Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masjid-masjid juga disarankan untuk menyediakan hand sanitizer untuk kegunaan ahli jemaah. Walau bagaimanapun, masih timbul kebimbangan dalam kalangan sebahagian orang Islam tentang penggunaannya kerana kandungannya turut mengandungi alkohol sehingga ada pihak yang memperkenalkan hand sanitizer ‘halal’ yang bebas alkohol.

            Kebimbangan ini boleh diatasi sekiranya masyarakat Islam faham perbezaan antara hukum arak dan hukum alkohol.  Pengharaman arak adalah jelas. Ia berdalilkan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maaidah: 90). Nabi S.A.W pula bersabda yang bermaksud:

“Setiap yang memabukkan adalah haram.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah dan lain-lain).  Terdapat juga hadis lain yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan adalah haram sama ada banyak mahupun sedikit (Riwayat al-Nasa’i). Ulama telah membuat kajian berkaitan ‘illah (punca atau sebab) hukum pengharaman arak dan dapatan mereka ialah kerana sifatnya yang memabukkan. Oleh itu, berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadis yang telah disebutkan dan juga qiyas (penetapan hukum secara perbandingan kerana terdapat persamaan), setiap yang memabukkan termasuk di dalam kategori arak dan haram untuk diminum atau digunakan dalam makanan.

            Ulama terdahulu, dengan kepakaran ilmu sains yang mereka miliki atau dengan bantuan kepakaran ahli sains pada zaman tersebut juga telah mencari punca yang menyebabkan orang yang meminum arak menjadi mabuk. Hasilnya, mereka dapati ia disebabkan oleh kandungan alkohol yang terdapat di dalamnya. Walau bagaimanapun, alkohol itu bukanlah illah (punca atau sebab) kepada pengharaman arak, sebaliknya sifat memabukkan yang menjadikannya haram. Di samping itu, jumhur ulama termasuk Imam Syafi’i dan mazhab beliau yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia berpendapat arak adalah najis. Arak adalah najis tetapi tidak semestinya alkohol juga najis.

            Alkohol adalah satu kata nama induk yang merangkumi pelbagai jenis alkohol seperti metanol, etanol, propanol, sorbitol dan lain-lain. Secara lebih khusus, jenis alkohol yang terdapat di dalam arak ialah etanol atau dikenali juga dengan nama etil alkohol. Ia terhasil daripada proses fermentasi (penapaian) menggunakan glukosa dari sumber karbohidrat seperti jagung, barli dan dan pelbagai bijirin dan buah-buahan yang boleh membawa kepada mabuk. Walau bagaimanapun, etanol tidak hanya ada di dalam minuman yang memabukkan. Ia juga terdapat dalam pelbagai makanan dan minuman yang telah melalui proses penapaian seperti tempe, kicap, tempoyak, tapai dan lain-lain.Cuma kadar peratusannya rendah dan tidak membawa kepada memabukkan. Selain itu,etanol juga boleh dihasilkan secara sintetik melalui makmal. Apapun, suatu yang perlu difahami oleh masyarakat ialah etanol bukanlah arak tetapi setiap yang memabukkan mengandungi etanol.

Dari sudut hukum fekah, etanol tidak najis kecuali jika diambil daripada arak. Sekiranya, ia diperolehi daripada sumber lain seperti daripada proses fermentasi yang dibuat semata-mata untuk penghasilan etanol bagi kegunaan industri atau terhasil melalui kaedah sintetik, ia adalah suci tetapi tidak boleh diminum kerana boleh memudaratkan. Terdapat beberapa Pandangan hukum yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkaitan hukum penggunaan alkohol. Antaranya ialah keputusan Muzakarah pada tahun 2011 yang menetapkan: “Alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh”, “Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum” dan “Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.”

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, sebagaimana yang penulis faham melalui pembacaan dan pelbagai perkongsian, alkohol yang digunakan dalam pelbagai industri perubatan dan barangan kegunaan seperti hand sanitizer, minyak wangi dan lain-lain tidak diperolehi daripada arak. Justeru, ia tidak najis dan boleh digunakan. Walau bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin memperkenalkan barangan kegunaan penjagaan kesihatan seperti hand sanitizer dan lain-lain yang diperakukan halal oleh pihak berkuasa, fokus bukan pada penghasilan barangan yang bebas alkohol tetapi kepada sumber alkohol yang digunakan, proses penghasilan dan penyimpanan barangan yang bebas daripada dicemari najis dan keselamatan barangan untuk kegunaan orang ramai.

Beza antara Alkohol dan Arak

Disediakan oleh Dr Tuan Sidek bin Tuan Muda, Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel : sidek@ump.edu.my.

 

TAGS / KEYWORDS