Skip to main content

Jerebu Kian Meruncing

Malaysia telah diselubungi dengan masalah jerebu selama dua bulan berturut-turut bermula dari awal bulan Ogos tahun ini hingga kini. Keadaan ini semakin meruncing dan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat setiap hari menyebabkan terdapat sesetengah kawasan telah mencapai bacaan IPU melebihi 100 iaitu tahap tidak sihat. Sehingga 22/9/2019, bacaan indeks IPU tertinggi dicatatkan di Seri Aman, Sarawak iaitu mencecah 204 (sangat tidak sihat), manakala 41 kawasan di tahap tidak sihat dan 25 kawasan yang lain dibawah paras sederhana.

Kebanyakan asap jerebu tebal ini tertumpu di kawasan pertengahan semenanjung Malaysia kerana ianya merupakan laluan angin monsun barat daya. Ketika monsun barat daya berlaku, Malaysia menerima suhu tinggi dan kering menyebabkan tekanan udara menjadi rendah. Keadaan ini membawa kepada pergerakan angin perlahan dari arah barat Sumatra dan Kalimantan, Indonesia melintasi garisan khatulistiwa. Suhu yang tinggi menggalakkan pembentukan titik panas yang boleh mencetuskan kebakaran secara besar-besaran.

Berdasarkan rekod titik panas yang dikeluarkan oleh NOAA satelit, sebanyak 530 titik panas di Sumatra (penambahan 71 kawasan dalam tempoh 1 hari), 186 titik panas di Kalimantan (penambahan 7 kawasan dalam tempoh 1 hari), 6 titik panas di Semenanjung Malaysia (penambahan 3 kawasan dalam tempoh 1hari) dan hanya 1 titik panas di Sabah dan Sarawak. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ianya akan menjadi bahan penggalak untuk tercetusnya kebakaran hutan secara besar-besaran dan seterusnya membawa kepada masalah jerebu yang semakin menebal. Di Malaysia, beberapa kawasan tertumpu titik panas seperti di Kuala Lumpur, bahagian selatan Johor, Terengganu dan Sarawak.

Masalah jerebu ini akan berkurangan apabila Malaysia memasuki fasa peralihan monsun yang mana ketika itu berlakunya perubahan dan pertembungan arah tiupan angin yang membawa kepada angin kencang, ribut petir dan hujan lebat dalam waktu singkat. Walaupun masalah jerebu adalah masalah global, namun langkah-langkah pencegahan perlu di ambil untuk mengawal keadaan di bawah paras bahaya. Sebagai contoh, Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) telah diperkenalkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memantau risiko kebakaran hutan/tumbuhan dan membekalkan maklumat pengurusan kebakaran. Selain daripada itu, pendedahan ilmu pembentukan bencana kepada orang awam adalah sangat penting supaya orang awam bersama-sama bertanggungjawab menjaga kualiti udara dan tidak menjadi penyumbang kepada masalah jerebu tersebut. Pengenalan kepada sistem pemecik air (sprinkler) di kawasan yang berisiko juga perlu dipertimbangkan untuk mengurangkan tumpuan titik panas dikawasan tersebut.

Dalam pada itu orang ramai juga boleh merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar apims.doe.gov.my sebagai rujukan rasmi bagi bacaan status kualiti udara dan jerebu dalam negara.    

 

Jerebu Kian Meruncing

Disediakan oleh Dr. Nurul Nadrah Aqilah Tukimat, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel:
nadrah@ump.edu.my.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri