Skip to main content
Komited laksana program pembangunan sosioekonomi

Komited laksana program pembangunan sosioekonomi

UMP Advanced terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat menerusi penawaran pelbagai program jangka pendek termasuk program kompetensi dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi awam ataupun swasta.

Peranan yang dimainkan adalah selari dengan komitmen Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk memaksimumkan potensi dan kompetensi program jangka pendek bagi menyahut seruan kerajaan Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja mahir dan separa mahir selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan tumpuan oleh pihak kerajaan dalam memperkasakan program latihan yang berteraskan Pembangunan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi tujuan tersebut, Jabatan Sosioekonomi & Projek Khas menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan bagi menyokong pelaksanaan program yang dijalankan. Konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) digunapakai dengan menjalinkan kerjasama dengan pemegang taruh di luar bagi memastikan setiap program yang dijalankan memenuhi keperluan dan standard yang dikehendaki pasaran.

Salah satu daripada program yang memberikan impak kepada komuniti ialah pelaksanaan program empower ECER Mahkota. Program yang telah dilaksanakan sejak 2011 sehingga kini telah berjaya melatih membabitkan seramai  13,081 peserta luar bandar. Program yang dijalankan meliputi program Latihan Akademik kepada pelajar-pelajar sederhana, lemah dan kurang berkemampuan (golongan B40) termasuk murid Orang Asli. Program yang mendapat kerjasama baik Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pegawai Daerah dan semua pemimpin tempatan apabila pelajar yang kurang berkemampuan ini diberikan peluang menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan sama ada di sekolah, luar sekolah, lawatan ke UMP, kem-kem perkhemahan serta pelbagai program bimbingan pendidikan dan kerjaya termasuk program khas untuk guru dan ibu bapa.

Antara kejayaan yang membanggakan terdapat pelajar murid Orang Asli yang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan berjaya melanjutkan pengajian hingga ke menara gading.

Bagi golongan belia termasuk ibu tunggal juga tidak dipinggirkan. Program Latihan Kemahiran & Keusahawanan disediakan bagi mereka menimba kemahiran untuk menjadi usahawan. Ramai antara mereka yang mampu menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sama ada di rumah ataupun secara atas talian. Modul yang dibangunkan juga tidak hanya memfokuskan kepada subjek atau latihan amali semata-mata namun mereka juga didedahkan kepada modul-modul tambahan seperti pemasaran digital, pengurusan kewangan dan motivasi keusahawanan. Modul-modul ini diperakukan oleh pihak Senat  dan Majlis Pembelajaran Sepanjang Hayat (MPSH) UMP Advanced. Mereka yang berjaya menamatkan pengajian dengan memenuhi syarat yang ditetapkan layak menerima Sijil Profesional UMP Advanced yang diiktiraf.

Bagi usahawan yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka, UMP Advanced bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyediakan ruang dan tempat untuk mereka memasarkan hasil produk mereka. Sebagai contoh, satu Kompleks Pusat Pemprosesan Hasil Laut yang diberi nama D’ Kuala mempunyai 12 lot perniagaan yang merangkumi 4 unit kilang pemprosesan hasil laut, 4 unit restoran dan 4 unit gerai jualan pelbagai telah dibangunkan. Setakat ini kesemua lot perniagaan ini telah beroperasi sepenuhnya.

UMP juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera bagi melaksanakan Program Pembangunan Sosioekonomi Veteran (PPSEV). MoU yang telah ditandatangani pada 23 Disember lalu bersempena Majlis Konvokesyen PERHEBAT KE 52 disaksikan oleh YB Menteri Pertahanan selaku wakil Rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia. Di dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pertahanan, YB Mohamad Sabu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru agar kerjasama di antara pihak swasta terus ditingkatkan bagi membantu nasib golongan veteran dan pesara angkatan tentera yang rata-ratanya pencen pada usia yang masih muda. Oleh itu, sudah semestinya program-program latihan yang bersesuaian dengan pengalaman dan kepakaran mereka perlu dilaksanakan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran mereka tersebut dapat digunakan bagi tujuan menjana pendapatan dan sosioekonomi.

Tidak terhenti setakat itu, usaha yang terus dijalankan ialah kerjasama bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) bagi memperakukan setiap program yang dijalankan oleh UMP Advanced. Selaku agensi yang memegang akta berkaitan industri pembinaan di Malaysia, adalah diharapkan setiap peserta yang menjalani latihan di UMP Advanced adalah berkualiti, berkelayakan dan memenuhi kehendak pasaran.  

 

Disediakan oleh Zainal b. Hj Bahari yang merupakan Pengurus Besar di Jabatan Sosioekonomi & Projek Khas UMP Advanced. Emel: Zainal@ump.edu.my. Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 25 Februari 2019.

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri