Skip to main content
Lakaran Sejarah Baharu MPP Tingkat Pemerkasaan Mahasiswa UMP

Lakaran Sejarah Baharu MPP Tingkat Pemerkasaan Mahasiswa UMP

Tanggal 27 November 2019, satu sejarah baru dilakar oleh mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) apabila Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah dijayakan sepenuhnya oleh mahasiswa UMP buat pertama kali mengikut tatacara dan kaedah-kaedah Universiti Malaysia Pahang. Ini merupakan perkembangan positif ke arah era pemerkasaan mahasiswa dan pra-penubuhan kesatuan pelajar di UMP. Di petik dari laman Facebook Pemilihan Perwakilan Pelajar (PMPP), Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) merupakan jawatankuasa tertinggi dalam PMPP. Peranan jawatankuasa ini adalah untuk membincangkan dasar dan peraturan. Sejarah tercatat pada tahun ini apabila dengan persetujuan Naib Canselor UMP bagi melibatkan pelajar bersama dalam jawatan kuasa ini. Keanggotaan sebanyak 12 pelajar dan 11 staff pengurusan UMP ini memberi nafas baharu terhadap suara mahasiswa diangkat. 12 keanggotaan ahli jawatankuasa ini terdiri daripada 2 mantan MPP sesi 18/19 dan setiap wakil persatuan fakulti. 

Saudara Mohamed Al-Fateh Ab. Razak mengetuai jawatankuasa induk yang diwakili oleh mantan MPP dan wakil persatuan fakulti. Antara perkara baharu yang dibincangkan dalam Mesyurat Bil.1 Jawatankuasa Induk PMPP adalah format baharu pemilihan calon MPP secara berkumpulan atau parti. Para calon dibenarkan mewujudkan satu pakatan dengan satu logo kumpulan yang sama. Senarai nama ahli kumpulan dan logo yang bakal digunakan mestilah didaftarkan pada hari penamaan calon. 42 kerusi dibuka bagi sesi ini berikutan daripada penstrukturan semula fakulti dan program pengajian di UMP. Sebanyak 14 kerusi kawasan umum mematuhi AUKU, iaitu separuh daripada bilangan kerusi di seluruh kawasan fakulti. Sebanyak 28 kerusi yang akan diwakili oleh kawasan Fakulti / Jabatan / Pusat. Hal ini juga membuka ruang dan peluang yang lebih banyak kepada para pelajar.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menggariskan 6 hala tuju jelas selaras dengan tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa. Hal ini juga selari dengan misi dan visi MPP itu sendiri. Misi MPP 2019/2020 “Membudayakan akauntabiliti dalam kalangan pelajar selaras dengan aspek pemerkasaan mahasiswa”. Akauntabiliti disini bermaksud sifat bertanggungjawab yang perlu ada dalam kalangan mahasiswa selaras dengan autoriti yang diberikan apabila terbentuknya Kesatuan Pelajar di UMP kelak. Visi pula pada sesi kali ini adalah “Merealisasikan Majlis Perwakilan Pelajar UMP sebagai sebuah badan kepimpinan yang berintegriti”.

Terdapat 6 hala tuju yang akan dibawa oleh MPP pada sesi kali ini adalah yang pertama, memastikan pilihan raya kampus dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa. Hal ini kerana apabila kita ke arah kesatuan pelajar atau ‘Student Union’, kuasa pelajar atau ‘student empowerment’ dapat diterapkan dalam diri mahasiswa selagi ia tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan. ‘Student empowerment’ adalah satu tugas untuk mahasiswa membuat keputusan tanpa diganggu atau terikat pada mana-mana jabatan selagi tidak melanggar Akta Universiti dan Kolej Kediaman 1971 (AUKU) serta Perlembagaan Universiti.

Keduanya , MPP UMP sebagai penaung kepada seluruh badan persatuan pelajar. Hal ini kerana MPP itu sendiri merupakan sebuah badan perwakilan pelajar, ini menunjukkan bahawa MPP adalah badan persatuan pelajar yang tertinggi di Universiti. Perkara ini, menjadi tanggungjawab kepada MPP dalam menjadi wakil kepada mahasiswa Universiti sendiri dalam mengemukan idea, pandangan, cadangan dan aduan.

Ketiga, MPP terlibat dan berkuasa dalam meluluskan program anjuran mahasiswa. Perkara ini juga berkait rapat dengan ‘student empowerment’, ahli MPP yang dipilih melalui sistem pilihanraya Universiti yang telah dipilih oleh mahasiswa UMP sendiri melalui undian untuk membawa atau mewakili suara-suara mereka. Program-program yang dianjurkan oleh mahasiswa adalah lebih dekat dengan mahasiswa, jadi pihak MPP lebih mengetahui signifikan sebuah  program anjuran mahasiswa dan lebih memudahkan mahasiswa untuk menjalankan program. 

Keempat, MPP akan menguruskan dana kewangan sendiri. MPP yang merupakan sebuah badan persatuan pelajar harus bergerak secara sendiri dan hanya dibantu oleh jabatan-jabatan di Universiti. Hal ini memerlukan MPP untuk mempunyai dana kewangan yang diuruskan sendiri oleh MPP bagi memudahkan proses perjalanan program-program yang dianjurkan tanpa melalui banyak pihak.
Kelima, memastikan wakil MPP akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat dan jawatankuasa-jawatankuasa di bawah Universiti. MPP UMP perlu terlibat dalam mesyuarat dan jawatankuasa di bawah Universiti bagi memudahkan pemberitahuan maklumat kepada mahasiswa. Wakil MPP juga diberi peluang untuk menyuarakan idea, pandangan, cadangan dan aduan serta bersama-sama dalam membuat sesuatu keputusan.

Keenam, menjadikan Dewan Perundingan Pelajar sebagai platform semak-dan-imbang atau ‘check-and-balance’ kepada MPP. Dewan Perundingan Pelajar yang merupakan dewan untuk wakil-wakil badan persatuan  mahasiswa untuk membuat dasar dan mengemukakan idea dan pandangan terhadap sistem-sistem yang digunakan di Universiti. Dewan ini juga boleh menjadikan wadah untuk MPP UMP menganalisis dan mengkaji keperluan yang dibentangkan oleh mahasiswa. 

Selain itu, sekarang kita berada di zaman kesatuan mahasiswa yang mana Yang Dipertua MPP UMP 2019/2020 Mohd Fitri Zulkaffli dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah MPP baru-baru ini menyebut, bahang kesatuan pelajar itu semakin hampir untuk ditubuhkan dan MPP  berharap bahang ini turut dirasai oleh semua mahasiswa UMP. Berdasarkan subseksyen-subseksyen AUKU yang disebutkan sebelum ini, MPP UMP  telah memperkenalkan ‘tagline’ atau slogan baharu iaitu ‘Salam Kesatuan Mahasiswa’. Beliau yakin pengenalan slogan ini akan memberi sedikit ‘hint’ atau petunjuk kepada mahasiswa UMP bahawa penubuhan Kesatuan Pelajar UMP kini semakin hampir untuk direalisasikan. InsyaAllah menjelang Mei 2020, landskap kepimpinan mahasiswa di UMP akan berubah dengan tertubuhnya Kesatuan Pelajar di UMP. 

Berkaitan dengan pelaksanaan ke arah kesatuan pelajar atau ‘Student Union’,  ucapan Menteri Pendidikan Malaysia,YB Dr Maszlee Malik, pada majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia tahun 2019,  menyebutkan ingin mengembalikan wibawa universiti. Universiti adalah medan intelektual terbuka kerana di situlah tepat berlakunya pendebatan teori,pergaduhan wacana dan perkongsian ilmu. Inilah sebenarnya neraca kualiti setiap university. Hal ini bertepatan dengan hala tuju ‘ketinggian kualiti’ yang mana menggalakkan universiti suburkan budaya dialog,forum,debat,wacana dan program lain bersifat intelektual kearah memberi penyelesaian masalah dan membangunkan negara.

Antara usaha pertama adalah dengan memansuhkan Seksyen 15 (1)(c) yang mengekang penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah. Dalam ucapan tersebut beliau juga menyebut tentang usaha mewujudkan Kesatuan Pelajar (Students’ Union) bagi menggalakkan lebih ramai mahasiswa diberi peranan dan peluang dalam proses membuat keputusan di universiti masing-masing. Selain itu, tidak terkecuali politeknik dan kolej komuniti juga tidak akan dipinggirkan daripada radar terutama dalam meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan. 

Perubahan landskap politik negara juga telah mengubah landskap Pendidikan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan 9 teras pencapaian KPM yang merangkumi 9 kelompok rakyat yang ingin diberikan tumpuan. Antara teras yang ingin digariskan  adalah teras ke-8 iaitu berkaitan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET. Dalam ucapan Yang Berhormat, Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia pada Perhimpunan Warga KPM Mei bersempena Setahun Pakatan Harapan  menyatakan bahawa  penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET pada 21 Jun 2018 yang lalu, bertujuan untuk memperkasa pendidikan dan hala tuju TVET. Sehingga hari ini, buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, pihak Kementerian telah berjaya melaksanakan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan 18 Vokasional iaitu laluan fleksibel bagi artikulasi TVET sehingga ke tahap 6 dan 7. 

Sistem ini juga merupakan sistem tunggal yang akan diguna pakai oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam mengakreditasi program TVET yang ditawarkan oleh institusi TVET awam dan swasta berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Dalam masa yang sama, kerjasama yang erat antara Kolej Vokasional, Politeknik, Kolej Komuniti dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran sedang giat dijalankan. Tidak dilupakan, sekarang juga usaha pihak KPM  untuk menubuhkan Centre of Excellence (Pusat Kecemerlangan) setempat TVET di seluruh negara selain komited untuk memperkasakan institusi TVET ini  bagi mengatasi masalah pengangguran dan institusi TVET ini akan menjadi salah satu pintu keluar daripada masalah ini.

Umum mengetahui bahawa UMP merupakan sebuah universiti teknikal dan teknologi di Malaysia. Pihak universiti juga mengambil bahagian dalam memperkasakan program TVET. Dalam mencapai hasrat itu pihak MPP juga akan bersama-sama dalam  usaha untuk memperkukuhkan lagi perlaksanaan TVET di universiti. Dalam memperkasakan perlaksanaan TVET, pihak MPP boleh melaksanakan program-program yang berkaitan dengan latihan teknikal dan vokasional serta berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk mempromosikan TVET dalam kalangan mahasiswa di universiti dan juga masyarakat luar.

Natijahnya, hasrat dan harapan semua dalam menjadikan MPP UMP sesi 2019/2020 menjadi nada suara, nadi mahasiswa dalam mengemukakan idea,pendapat,cadangan dan aduan kearah pembangunan mahasiswa serta kejayaan Universiti bukan sahaja dari segi akademik malah dari segi pengurusan dan kepimpinan. Semoga segala usaha yang akan dilakukan memberi satu pencapaian dan membuahkan hasil dalam usaha menjadikan mahasiswa dan generasi hadapan yang lebih berketerampilan dan mempunyai daya saing yang jitu kearah negara maju. Pencapaian dan kejayaan MPP yang lalu akan menjadi satu pembakar semangat untuk ahli MPP pada sesi 2019/2020. Satu janji yang akan dibawa adalah menjadikan MPP sesi ini mempunyai identiti tersendiri dalam menjadi wadah penghubung antara mahasiswa dengan kepimpinan Universiti.

Lakaran Sejarah Baharu MPP Tingkat Pemerkasaan Mahasiswa UMP

Oleh : Ahmad Rifqi Bin Mohd Jerome Rinjes, Naib Yang Dipertua (Komunikasi dan Korporat) Majlis Perwakilan Pelajar  2019/2020 UMP

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri