Skip to main content
Manfaatkan Pengunaan Teknologi Dalam Masa PKP

Manfaatkan Pengunaan Teknologi Dalam Masa PKP

Penularan wabak Covid-19 telah menggemparkan seluruh dunia. Antara strategi yang digunakan oleh beberapa negara bagi mengelakkan penularan wabak ini dari berterusan membunuh manusia adalah dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga Lockdown sepenuhnya. Dalam konteks negara Malaysia, PKP telah dilaksanakan sepenuhnya bermula 17 Mac 2020 sehinggalah 14 April 2020 dan akan disambung jika keadaan masih tidak banyak berubah. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, pelbagai langkah dan usaha diambil sama ada oleh pihak kerajaan atau swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan telah berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Tempoh pelaksanaan PKP telah dilihat sebagai usaha segera kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti dengan mengadakan penguatkuasaan sekatan perjalanan ke luar negara dan pergerakan antara negeri, penutupan beberapa premis perniagaan, sekolah serta institusi pengajian tinggi bagi melindungi semua lapisan rakyat dari bahata COVID-19. Tempoh berkurung ini sebenarnya tidak pernah dialami oleh masyarakat negara ini kecuali semasa negara melaksanakan darurat pada tahun 1948-1960 dahulu. Dalam tempoh ini ia memperlihatkan bagaimana masyarakat negara ini yang bekerja dari rumah, hanya ketua keluarga dibenar membeli barangan keperluan harian, penggunaan beberapa aplikasi yang memudahkan mesyuarat diadakan secara atas talian, pembelian barangan dalam talian, kelas atau kuliah secara dalam talian bagi para pelajar serta akses kepada bahan pengajaran dan pembelajaran secara maya. Penjarakkan sosial ini dilakukan bagi mengelakkan masyarakat berkumpul, berhimpun yang boleh menyebabkan virus COVID-19 mudah tersebar.

Antara golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP ini adalah pelajar di pusat pengajian tinggi. Ada yang dapat pulang sebelum PKP dilaksanakan dan ada yang tidak sempat pulang dan mereka terpaksa timggal di kampus sehingga kerajaan mengumumkan penamatan PKP. Secara amnya, ramai para pelajar pada hari ini mempunyai telefon pintar dan internet berbayar. Ini secara tidak langsung akan membolehkan para pelajar sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi mendapat peluang untuk menambahkan ilmu pengetahuan secara kendiri. Penggunaan teknologi dalam pembelajaran seperti ini akan menarik minat pelajar untuk mempelbagaikan lagi cara mereka mendapatkan ilmu tidak hanya di dalam bilik kuliah sahaja. Melalui teknologi mudah alih ini para pelajar boleh memperdalamkan lagi atau mencari bahan tambahan bagi sesuatu subjek yang mereka pelajari. Ia seakan berperanan sebagai nilai tambah terhadap ilmu yang telah diberikan oleh pensyarah semasa di dalam bilik kuliah dan juga buku-buku yang mereka rujuk sebelum ini.

Selain itu, para pelajar juga boleh mempelajari bahasa asing selain bahasa Inggeris seperti Mandarin, German, Perancis, Arab dan lain-lain lagi. Ada berbagai laman yang menyediakan cara mempelajari bahasa asing tersebut berserta dengan sebutan yang betul. Tidakkah ini memudahkan para pelajar kerana mereka tidak perlu mendaftar dan membayar yuran bagi memasuki kelas belajar bahasa asing secara mudah. Sangat menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Kebolehan menguasai  bahasa asing adalah keperluan pada masa kini. Jadi, para pelajar jangan sia-siakan peluang yang ada ini dan gunakan sebaiknya teknologi yang ada di depan mata anda, dengan erti kata lain ilmu hanya dihujung jari.

Penggunaan teknologi mudah alih juga akan membolehkan pelajar mengetahui isu-isu semasa sama ada dalam negara atau luar negara secara pantas. Dalam hal ini, para pelajar sememangnya perlu cakne dengan isu semasa bagi menjadikan mereka pelajar yang berfikiran global, kreatif dan inovatif. Generasi yang matang adalah generasi yang tidak sempit pemikirannya malahan perlu menjangkau imaginasi mereka. Ini boleh didapati dengan hanya mengambil cakna akan isu yang berlegar di seluruh dunia.

Sememangnya terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar dengan adanya teknologi mudah alih sekarang ini. Ini kerana peluang terbuka luas untuk sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan ilmu dari seluruh dunia. Ia juga akan membuka minda para pelajar bahawa ilmu itu tidak sahaja di dalam buku, malahan ia bertebaran dalam teknologi mudah alih jika seseorang itu tahu menggunakannya.  Tapi sejauh manakah para pelajar menggunakan teknologi ini dalam mendapatkan ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi membantu pembelajaran mereka? Satu kajian telah dilakukan bagi melihat sejauhmanakah para pelajar menggunakan teknologi mudah alih ini bagi manfaat pembelajaran mereka. Daripada kajian yang telah dilakukan, kebanyakan pelajar menggunakan teknologi mudah alih bagi membolehkan mereka mengakses beberapa laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, Twitter, Wechat dan sebagainya. Berdasarkan kajian, jelas menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar menggunakan media sosial ini untuk meluahkan perasaan, berkongsi gambar, berkongsi pendapat dan maklumat dan hanya segelintir daripada mereka menggunakan media sosial untuk melihat perkembangan terkini bagi menghilangkan kebosanan. Masih tidak ramai yang menggunakan teknologi mudah alih ini ke arah pembelajaran dan Pendidikan.

Kesimpulannya, daripada kajian yang telah dijalankan, sebanyak 70 peratus dalam kalangan pelajar tidak kira lelaki mahupun perempuan menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, berkongsi gambar, berkongsi pendapat dan informasi hanya bagi menghilangkan rasa bosan. Jadi secara keseluruhannya para pelajar lebih banyak menghabiskan masa atau menggunakan teknologi mudah alih hanya untuk menghilangkan kebosanan berbanding untuk menambahkan ilmu di dada. Justeru itu, sesuatu harus dilakukan bagi mengubah tabiat para pelajar sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi agar teknologi mudah alih diguna sebaik mungkin untuk melahirkan generasi berilmu pada masa akan datang.

Manfaatkan Pengunaan Teknologi Dalam Masa PKP

Disediakan oleh Dr Hasnah Hussiin, Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan

Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel: hasnah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri