Skip to main content

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

Tanggal 20 Ogos setiap tahun adalah merupakan sambutan Hari Pentadbir sebagai mengiktiraf peranan Pentadbir Universiti Awam di Malaysia. Hari Pentadbir kali pertama diumumkan pada tahun 2016 semasa penganjuran Konvensyen Pentadbir Universiti Awam pada 20 Ogos 2016 bertempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT). Di bawah payung Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), badan gabungan Persatuan Pentadbir di seluruh universiti awam telah dibina bagi menjadikan golongan pentadbir dan ikhtisas sebagai entiti penting dan berkesan dalam membina kecemerlangan universiti awam tersebut. 

Sambutan kali ini dengan bertemakan “Memartabat Pentadbir, Memperkasa Urus Tadbir” dilihat signifikan dalam era kepimpinan Malaysia Baharu serta perubahan dinamik pendidikan tinggi di Malaysia di mana kejayaan universiti pada hari ini adalah hasil kerja padu dan berdedikasi kelompok pentadbir yang merupakan tulang belakang sesebuah Universiti selain daripada kelompok akademik dan kumpulan pelaksana.  Mereka adalah nadi yang kuat dalam menyokong perjalanan universiti tanpa menafikan mana mana sumbangan semua pihak.

Dalam konteks UMP kelompok pentadbir atau lebih dikenali sebagai Pengurus Profesional ini hendaklah sentiasa bersiap siaga dengan corak perubahan baharu yang berlaku serta perlu sentiasa menghadapi cabaran dari segenap ruang baharu yang perlu diterokai. Sebagai Pengurus Profesional mereka hendaklah mengambil sikap lebih terbuka, luwes dan berani berbeza dalam apa jua bentuk tindakan dan pandangan yang diungkapkan.Ibarat “tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih”, peribahasa ini tepat untuk kita semua renungi. Semua masalah dan konflik yang kita tempuhi walau sebesar manapun akan dapat diselesaikan dan dirungkai, dengan keikhlasan hati kita bekerja. Bekerjalah sebagai ibadah, itu slogan setiap saat mendokong nilai teras ketika kita berada di tempat kerja..

Pengurus Profesional perlu meletakkan keutamaan dan tumpuan dalam memastikan kecemerlangan universiti dipacu melalui sokongan kepimpinan yang berwibawa bersama-sama dengan kepimpinan Pengurusan Tertinggi Universiti. Penumpuan kepada kelangsungan dan kewibawaan bakat dalam kalangan pentadbir universiti dapat dipelihara serta inisiatif pelan penggantian dan kelompok bakat harus diperkasakan. Para pentadbir sentiasa bersikap profesional dan terbuka serta sentiasa berusaha untuk meletakkan nilai tambah dalam diri bagi mendukung aspirasi universiti demi mempertingkatkan lagi kecemerlangan universiti di persada dunia. 

Dunia pentadbir hari ini penuh dengan cabaran. Berhadapan dengan revolusi perindustrian 4.0 memberi impak yang amat besar dalam dunia pekerjaan kita. Maklumat diperoleh dan disebar luaskan dalam sekelip mata. Kecanggihan teknologi hari ini tidak sempurna penggunaannya tanpa sikap yang matang. “Your Attitude Determines Your Altitude”, sikap kita semua melambangkan ketinggian peribadi diri kita sendiri. 

Transformasi universiti pada hari ini perlu dijiwai dan dihayati oleh seluruh Pengurus Profesional. Kita bukan sahaja perlu menjadi fast learner, malah kita perlu bersedia menjadi fast adapter. Transformasi yang berlaku ini perlu dibawa bersama slogan “lead by example”. Kita mungkin berbeza dalam beberapa isu, tetapi kita sama dalam banyak perkara. Kebersamaan itu hendaklah diterjemahkan dalam meletakkan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah universiti.

Oleh yang demikian, bersempena dengan sambutan Hari Pentadbir tahun ini marilah kita selaku pentadbir universiti untuk terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh bertanggungjawab dalam suasana harmoni dan sejahtera. 

Sesungguhnya kejayaan  sesebuah organisasi diukur berdasarkan kepada kecekapan, keberkesanan, produktiviti, kualiti produk serta penyampaian yang akhirnya memerlukan warga pentadbir yang menilai secara realistik, berupaya melakukan anjakan paradigma serta berfikiran jauh. Keupayaan untuk berubah serta responsif dengan suasasana persekitaran semasa dan menjangka (predict) perubahan pada masa depan dalam kalangan pentadbir dilihat sebagai kemahiran yang penting yang perlu dibudayakan secara sistematik mengikut acuan organisasi tersebut.

Selamat Hari Pentadbir Kepada Seluruh Pentadbir Universiti Awam se-Malaysia.

Memartabat Pentadbir Memperkasa Urus Tadbir

 

Disediakan oleh Mohd. Raizalhilmy Mod Rais, Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan juga merupakan Timbalan Presiden (Hubungan Korporat), Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).