Skip to main content
MENCORAK KEPIMPINAN MASA HADAPAN

Mencorak Kepimpinan Masa Hadapan

Pemimpin boleh datang dan pergi dan ada kalanya tergelincir dan tersasar, tetapi agenda perjuangan dan matlamat organisasi perlu digalas. Pemimpin dahulu kita sanjungi. Pemimpin semasa wajar dihormati dan pemimpin masa hadapan perlu dibangunkan berdasarkan kepada keperluan dan cabaran mendatang.

Transformasi kepimpinan yang dinamik dan semakin kompleks dalam revolusi industri terhasil daripada perubahan dalam konteks persaingan dan kreativiti dari sudut teknologi maklumat, inovasi dan persaingan ekonomi. Melihat dua dimensi yang membezakan antara pembangunan pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Pembangunan pemimpin merujuk kepada peningkatan keupayaan individu untuk memimpin dengan berkesan, manakala pembangunan kepemimpinan merujuk kepada membina keupayaan organisasi untuk melaksanakan tugas kepimpinan yang diperlukan untuk mencapai misi organisasi. Asas ini perlu digabungkan bagi menghasilkan keperluan terhadap tenaga mahir dengan tahap penguasaan kompetensi kepimpinan yang tinggi dan berupaya mendepani cabaran pada masa akan datang.

Perubahan ini juga memberi kesan kepada ekosistem pendidikan pengajian tinggi. Teras kepimpinan menjadi salah satu tonggak utama institusi selain daripada tadbir urus, pengurusan akademik, pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan. Tunjang kepada kelestarian dalam institusi pendidikan tinggi tidak hanya terletak kepada pengiktirafan dan kesarjanaan akademik yang perlu dicapai, namun yang lebih penting adalah pemimpin perlu mempunyai dan memiliki nilai, keperibadian dan prinsip wawasan yang jelas serta daya kekuatan. Pemimpin yang mempunyai wawasan jelas memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan dalam masa yang sama berupaya menerapkan sifat positif dalam diri.

Agenda kepimpinan ini merupakan satu usaha berterusan bagi melahirkan pemimpin bukan sahaja diperingkat institusi pendidikan malah diperingkat nasional. Membangunkan profil kompetensi kepimpinan bagi mencorakkan karakter pemimpin yang diaspirasikan pada masa akan datang. Kompetensi kepimpinan ini juga mengambilkira kepada perubahan masa kini yang menuntut kepada ciri-ciri pemimpin yang berfikiran keusahawanan, daya analitik yang tinggi, penguasaan teknologi dalam menghadapai cabaran generasi milenium yang dinamik dan fleksibel. 

Dalam perspektif universiti awam, kepimpinan institusi perlu dibangunkan melalui satu perancangan yang tersusun dengan jangkaan bagi pembangunan kelompok bakat yang mempunyai standard kompetensi selari dengan arus global. Justeru, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) sebagai agensi yang menerajui pembangunan bakat kepimpinan institusi pengajian tinggi sentiasa melihat mekanisme yang bersesuaian dan relevan dengan standard antarabangsa bagi memastikan instrumen dan metodologi yang efektif dalam pembangunan bakat kepimpinan universiti awam.

Inisiatif pembangunan dan pemantapan kepemimpinan insititusi merupakan usaha berterusan AKEPT bersama-sama rakan kolaborasi strategik dikalangan Universiti Awam bagi memastikan pemimpin dan bakal pemimpin institusi pendidikan tinggi negara dibentuk melalui latihan pembangunan, pendayupayaan dan pemerkasaan kepimpinan yang berstuktur dan dinamik disamping penekanan terhadap mutu, kualiti dan impak.

Kolaborasi ini perlu digemblengkan dengan menambahbaik integrasi Sistem Pengurusan Sumber Manusia di universiti dalam memberikan penekanan kepada keberkesanan fungsi pengurusan sumber manusia bermula dari proses pengambilan, pemilihan, penempatan, latihan, penilaian prestasi, penghargaan serta urus tadbir yang baik.  Selain itu, universiti juga perlu memantapkan pelaksanaan inisiatif dan strategi dalam pembangunan bakat. Program latihan dan pembangunan yang terancang perlu dilaksanakan bagi memenuhi jurang kompetensi dalam menghasilkan kumpulan bakat yang berkemahiran tinggi dan produktif.

Usaha berterusan perlu dijalankan bagi mengenalpasti kompetensi yang bersesuaian bagi menghadapi perubahan pengurusan sumber manusia yang semakin mencabar. Dalam ruang lingkup yang lebih kompleks, cabaran pemimpin di Institusi Pengajian Tinggi masa kini adalah berhadapan dengan landskap persekitaran budaya kerja di universiti awam juga perlu mengalami transformasi agar aspirasi pembangunan dan perubahan ini dapat dicapai secara holistik. Keinginan permintaan dan keperluan pemegang taruh yang sentiasa ingin melihat institusi ini ditahap yang terbaik, berkualiti dan sentiasa berdaya saing menjadi ianya satu institusi pilihan.

Walaupun tuntutan kepada kompetensi domain dalam IT dan teknologi, namun ciri kepimpinan sebenar tidak akan dapat dipisahkan dengan keaslian kompetensi perilaku termasuk komunikasi , nilai, etika dan integriti, kerja berpasukan. Kepimpinan memerlukan pengurusan hubungan manusia yang kukuh dan konsisten, membentuk satu pasukan kumpulan yang mampu berkerja sebagai sebuah entiti yang berupaya menyumbang kepada produktiviti dan matlamat organisasi dengn penggunaan sumber yang optimum.

Melangkah gagah pada masa hadapan diharapkan AKEPT dan Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa menambahbaik dari kerangkan dan falsafah dalam pemilihan pemimpin dan pembangunan bakat yang berpontensi diketengahkan sebagai tonggak masa depan negara. Penguasaan kompetensi kepimpinan diberi keutamaan untuk dibangunkan dengan menyediakan struktur intervensi dan pembangunan yang sistematik dengan pelbagai pendekatan sama ada latihan secara formal mahupun perkongsian bersama pihak berkepakaran, pemimpin organisasi dan kumpulan profesional.

MENCORAK KEPIMPINAN MASA HADAPAN

Disediakan oleh: Muhamad Tasyrif Ghazali, Eksekutif Kanan Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel: tasyrif@ump.edu.my