Skip to main content
PENGANGGURAN: BENARKAH MAHASISWA MEMILIH KERJA?

PENGANGGURAN: BENARKAH MAHASISWA MEMILIH KERJA?

Sudah terbiasa bermain di fikiran apabila masuk universiti atau belajar di universiti, ianya akan menjamin pekerjaan yang lebih baik atau lebih selesa kepada seseorang mahasiswa. Kenyataan ini ada benarnya jika kita menoleh kepada suatu masa sekitar tahun 70-an sehingga awal tahun 2000. Sama ada mahasiswa masa kini memilih kerja atau ada faktor-faktor lain yang telah secara tidak langsung menyumbang kepada masalah pengangguran dalam kalangan mahasiswa perlu diselidiki.

Penggunaan Teknologi Canggih menggantikan tenaga manusia

Kini kita sudah masuk alaf baru yang mana banyak sektor pekerjaan hari ini kurang menggunakan tenaga kerja manusia kerana beralih kepada penggunaan teknologi yang lebih canggih yang telah menggantikan tenaga manusia. Ini merupakan satu kemajuan bagi negara Malaysia yang telah lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan. Persoalannya adakah nanti ia akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan bagaimana pula nasib ribuan mahasiswa yang telah menamatkan pengajian nanti?. Tahun 2016 menjadi tanda bermulanya  Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0). Revolusi ini memperlihatkan kemunculan sistem fizikal siber yang akan mengambil alih tempat manusia, mesin dan  teknologi yang ada sebelum ini. 

Secara amnya, kewujudan teknologi automasi ini tidak lagi melibatkan manusia secara langsung. Industri 4.0 juga akan mengubah masa depan dunia pekerjaan. Persoalannya apakah persediaan mahasiswa bagi menghadapi revolusi yang bakal mengubah dunia pekerjaan nanti?

Kemunculan Institusi Pengajian Baharu

Sekali lagi cuba kita menoleh ke belakang sekitar tahun 1970 hingga 1980an, negara kita hanya mempunyai beberapa buah universiti sahaja. Tetapi pada masa kini, bilangan Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) semakin bertambah dan ini tidak termasuk dengan institusi pendidikan baharu yang menyediakan kursus pendidikan jarak jauh bagi memudahkan orang ramai mengikuti pengajian sambil bekerja. Bayangkan setiap universiti UA, IPTS seluruh negara mengeluarkan ribuan mahasiswa setiap tahun. Di mana mereka hendak menempatkan diri mereka kerana tidak mungkin peluang pekerjaan yang wujud sama dengan bilangan graduan yang keluar mencari pekerjaan. Barangkali juga negara mengalami timbunan resume melebihi peluang pekerjaan. Kepada mahasiswa pula, bagaimana anda hendak menempatkan diri anda dalam sektor pekerjaan hari ini yang lebih mencabar sementelah persaingan dalam kalangan mahasiswa juga terlalu sengit. 

Maka dalam hal ini, seseorang mahasiswa perlu bijak mengatur langkah. Seseorang mahasiswa yang bijak adalah seorang yang pandai menggunakan peluang semasa berada di kampus. Dalam hal ini, mereka perlu bergiat aktif dalam pelbagai persatuan, memastikan mereka mendapat gred yang bagus, mempelajari berbagai bahasa dan pengalaman semasa menjadi pelajar. Jadi jika mereka keluar hanya berbekalkan sijil semata-mata anda tidak akan mudah mendapat peluang pekerjaan.

Penguasaan Bahasa

Rasanya dalam isu bahasa ini ramai yang sudah sedia maklum bahawa antara syarat penting untuk mendapatkan pekerjaan pada hari ini adalah kebolehan mahasiswa menguasai bahasa Inggeris. Ada kajian yang dilakukan sebelum ini mendedahkan sememangnya majikan hari ini lebih memilih graduan yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris berbanding graduan yang kurang kemahiran berbahasa Inggeris. Ia seakan menjadi trend kepada para majikan hari ini sama ada agensi kerajaan atau swasta. Persoalannya di sini adakah majikan melihat kepada skill atau kebolehan melakukan tugasan atau kebolehan berbahasa Inggeris? Skill sememangnya faktor utama dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tetapi bahasa itu boleh dipelajari. Faktor bahasa ini dilihat terlalu besar peranannya apabila ada yang mengatakan masalah penguasaan bahasa Inggeris juga menjadi salah satu faktor kegagalan graduan dalam mendapatkan pekerjaan. Selain dari bahasa Inggeris, terdapat juga bahasa-bahasa lain yang dilihat oleh para majikan seperti Mandarin, Perancis, German dan Arab.

Pemilihan Kursus

Seseorang mahasiswa perlu bijak memilih bidang yang diminati. Walau bagaimanapun, dalam sesuatu keadaan mahasiswa juga perlu membuat kajian tentang bidang yang dipilih bagi memastikan kursus tersebut senang diterima oleh majikan. Tetapi bagi mahasiswa yang ingin membuka bisnes sendiri mereka bebas untuk menceburi sesuatu bidang. Perkara ini sangat penting memandangkan pernah timbul isu ada lambakan graduan yang salah memilih kursus yang mana skop pekerjaan bagi sesuatu kursus tersebut yang terhad dan tidak mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia.

Tangga Gaji

Masalah tangga gaji juga mungkin merupakan salah satu faktor yang menyebabkan para graduan memilih pekerjaan. Sememangnya, graduan akan memilih tangga gaji yang sepadan dengan kelulusan mereka. Berdasarkan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018, mendedahkan yang tangga gaji lepasan diploma dan ijazah merosot dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini. Para graduan lepasan universiti sememangnya diperlukan di dalam sektor industri dan bukan industri. Tetapi adakah kita sedar ada dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa kepada majikan yang mengambil kesempatan. Ini memandangkan ada majikan yang sengaja menggunakan alasan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan sebagai alasan untuk tidak membayar upah yang sepatutnya dan lebih rendah dari sepatutnya. Langkah kerajaan menetapkan tangga gaji minimum kepada RM1,050. sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah ini. Dalam hal ini, pihak majikan terlalu memilih kerana mereka mempunyai pilihan lain iaitu pekerja asing yang boleh diberikan gaji yang lebih murah dan menguntungkan mereka.

Budaya “experience”

Secara amnya memang tidak masuk akal jika sekiranya majikan hanya memilih pekerja berdasarkan pengalaman berkaitan kerja sebelum ini. Ini akan menyukarkan graduan yang baru tamat belajar untuk mendapatkan pekerjaan. Bayangkan semua majikan hanya memandang pekerja yang ada pengalaman bekerja, sampai bila pun graduan yang fresh ini tidak akan diterima bekerja dan sampai bila-bila pun mereka tidak akan mempunyai pengalaman bekerja. Perkara ini seharusnya dipantau kerana nasib graduan yang baharu tamat belajar perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Ekoran daripada kecewa dengan sikap majikan yang hanya mahu pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja inilah menyebabkan para graduan melakukan kerja-kerja sendiri seperti menjual nasi lemak, bekerja sebagai buruh, peniaga pasar malam dan sebagainya untuk menyara diri dan keluarga sementara mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Walau apapun, terdapat juga segelintir graduan yang terlalu memilih pekerjaan, gaji yang tinggi dan skop kerja yang selesa. Tetapi golongan ini dilihat terlalu sedikit dan tidak membayangkan lambakan graduan yang menganggur. Sememangnya masalah graduan menganggur perlu dikaji dan dilihat dalam skop yang luas kerana terlalu banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya pengangguran dalam kalangan graduan hari ini. Walau bagaimanapun, usaha perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi mencari punca sebenar yang menyebabkan siswazah sukar mendapatkan pekerjaan.

 

Disediakan oleh Dr Hasnah Hussiin, Pensyarah Kanan, Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. Emel: hasnah@ump.edu.my. Artikel ini telah disiarkan dalam Kosmo pada 6 April 2019.