Skip to main content

Pengukuhan Etika Penjawat Awam: Dimensi Islam


KUALA LUMPUR: Seramai 418 penjawat awam ditahan atas kesalahan membabitkan rasuah sepanjang tahun lalu. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata daripada jumlah itu, seramai 140 orang sudah dituduh di mahkamah. 

“Mereka dituduh atas kesalahan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nilai dan etika adalah dua elemen kejayaan anggota perkhidmatan awam di Malaysia. Kedua-dua faktor ini menjadi tonggak dalam proses pentadbiran negara sama ada dalam penggubalan sesuatu dasar, pelaksanaan, penyampaian perkhidmatan mahupun dalam membuat keputusan. Berdasarkan kepada angka di atas, bagi data 2019 di Malaysia (Berita Harian, 2 April 2019) mencerminkan nilai dan etika telah mula terhakis dari keperibadian penjawat awam jika tiada tindakan pencegahan dilakukan. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh jabatan terbabit, tetapi yang jelas sentuhan konsep nilai dan etika Islam sangat penting untuk diketengahkan dalam pentadbiran negara secara holistik.

Dari sudut pandang Islam, nilai dalam kepercayaan dan pemikiran itulah yang akan menentukan nilai baik dalam perlakuan atau pekerjaan. Maksud nilai baik dalam kepercayaan merujuk kepada nilai keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Inilah nilai asas yang menjadi tonggak kepada segala nilai dasar dalam Islam. Tanpa pegangan yang kuat dan kukuh kepada nilai ini akan mengakibatkan perlakuan dan pekerjaaan tidak dinilai di sisi Allah SWT walaupun secara zahirnya telah memenuhi piawaian nilai dan etika organisasi sejagat.

Pertalian antara ilmu ketakwaan dan keimanan ini dapat diterjemahkan sebagai ilmu fardhu ain iaitu salah satu cabangnya adalah ilmu akhlak yang mengandungi segala asas nilai dan etika dalam Islam. Kefarduan ilmu ini wajib ke atas setiap individu Muslim tanpa mengira jawatan, pangkat, status, usia, tempat dan organisasi. Hanya dengan cara ini sahaja organisasi akan mencapai kecermerlangan dunia dan akhirat. Sekiranya ilmu akhlak diabaikan dalam pentadbiran kenegaraan, amalan rasuah tidak akan selesai walaupun tindakan penyemakan atau baik rapi pendapatan dilakukan saban tahun dan yang lebih tragisnya penglibatan golongan kolar putih yang jumlah pendapatnya melebihi lima angka.

Penekanan nilai ketakwaan dan keimanan dengan penuh keikhlasan ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah al-Bayyinah 98:5 dan surah al-Zumar 39:11.
Terjemahan: Tidaklah Aku perintahkan kamu kecuali untuk menyembah Allah ikhlas kerana agama.

Terjemahan: Katakan (wahai Muhammad) sesungguhnya Aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah kepada-Nya.

Apa juga nilai baik yang dijadikan sebagai etika kerja bukan hanya sekadar memenuhi dimensi akhlak tetapi juga sebagai formula untuk mencapai matlamat syariat secara keseluruhannya iaitu menjaga agama, jiwa, nyawa, akal fikiran, harta dan juga keturunan. Matlamat ini membuktikan bahawa ajaran Islam bukan sekadar menggalakkan umatnya untuk cemerlang melalui nilai dan etika kerja sahaja tetapi juga bersifat memelihara mereka sebelum berlakunya sesuatu kemusnahan atau kemunduran termasuklah dalam aspek melaksanakan tugasan. Nilai kecemerlangan dalam akhlak dapat dikupas dari beberapa aspek iaitu:

Al-Hikmah - Kebijaksanaan atau kesesuaian ilmu dengan amal atau tindakannya. Kepentingan pendidikan awal di sekolah yang perlu menekankkan penghayatan ilmu bukan pencapaian markah semata-mata.
Al-Adl - Keadilan iaitu jiwa yang dapat dikawal daripada sifat marah, rakus, ego dan sebagainya. Bagi merealisasikan al-Hikmah, nilai al-adl mampu menyelamatkan manusia dan membimbing kebahagiaan hidup sejagat.
Al-Saja’ah - Keberanian iaitu kekuatan dan keteguhan hati dalam mempertahankan kebenaran (al-haq) tidak berundur kerana dicela dan tidak maju kerana dipuji.
Al-’Iffah - kemuliaan iaitu mempunyai kemuliaan dengan menjaga maruah diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang Allah SWT seperti rasuah, menipu dan sebagainya.
Justeru, bagi mencapai aspirasi negara dalam melahirkan penjawat awam yang berakauntabiliti dan bertanggungjawab tanpa rasuah, setiap penjawat awam perlu mempertahankan sifat kebertanggungjawaban tersebut apabila dipersoalkan (responsible and answerable to) iaitu bertanggungjawab kepada Allah Yang Maha Esa.

Sandaran kepada nilai etika ini adalah sesuatu yang unik kerana hampir keseluruhan nilai yang baik dan buruk ialah sesuatu yang pasti dan tidak berubah oleh perubahan zaman, masa, tempat dan budaya. Dengan kata lain, sesuatu nilai yang dianggap buruk pada hari ini tidak akan menjadi baik dalam tempoh 20 tahun lagi walau hanya kerana amalan buruk tadi telah diterima oleh masyarakat umum sebagai amalan biasa yang diamalkan.

Justeru, sistem ini perlu difahami dengan mendalam oleh setiap individu Muslim terutamanya penjawat awam. Pemantuan secara berkala perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa yang haram tidak dihalalkan disebabkan faktor budaya setempat. Umpamanya, amalan rasuah adalah haram, maka sampai bila-bila pun amalan rasuah ini akan menjadi haram tanpa ada kompromi. Mudah-mudahan semua penjawat awam termasuk dalam golongan yang beramanah kepada agama, bangsa dan negara.

Pengukuhan Etika Penjawat Awam: Dimensi Islam

Penulis ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Oleh: Dr. Rashidi Abbas
e-mel: rashidi@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News