Skip to main content

Sektor Pembinaan di Era COVID-19: Dilema Pekerja Pembinaan dan Cabaran Mendepani Norma Baharu

Pandemik COVID-19 telah menyaksikan impak yang besar secara langsung mahupun tidak ke atas semua sektor di dalam dan luar negara. Penularan virus ini telah menghentikan semua sektor dari beroperasi buat sementara waktu termasuklah sektor pembinaan. Sejak pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang lalu, ekonomi negara mengalami kemerosotan yang bukan sedikit. Negara kehilangan RM2.4 bilion setiap hari semasa dalam tempoh pelaksanaan PKP.
Kerajaan menyedari bahawa ekonomi negara perlu digerakkan semula secepat mungkin untuk menjana pertumbuhan, mengurangkan pemberhentian pekerja dan meningkatkan aktiviti pengeluaran serta permintaan. Oleh yang demikian, bermula 4 Mei 2020 kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi bergerak semula tetapi dengan mengamalkan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ketat seperti yang digariskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Bagi sektor pembinaan, kebenaran untuk beroperasi semula secara bersyarat telahpun diberi semasa PKP fasa ketiga dahulu. Salah satu syarat yang diwajibkan kepada syarikat-syarikat pembinaan untuk beroperasi ialah dengan memastikan semua pekerja yang terlibat disahkan negatif COVID-19 dan semua kos yang melibatkan pemeriksaan kesihatan pekerja dan rawatan di hospital adalah dibawah tanggungan majikan. Selain itu, kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi hendaklah mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Dilema Pekerja Pembinaan
Sememangnya dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan bagi sektor-sektor penting untuk beroperasi semasa tempoh PKPB, ia mungkin akan mengundang keresahan dan kerisauan dalam kalangan pekerja di sektor pembinaan. Kerisauan ini jelas tertumpu kepada soal keselamatan dan kesihatan pekerja yang terlibat secara langsung dengan projek di tapak binaan. Selain itu, isu mengenai sikap kepatuhan individu terhadap SOP langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 di tapak binaan turut bermain di minda. Mereka ini pastinya berada dalam dilema di antara tuntutan kerja dalam meneruskan kelangsungan hidup dan keselamatan nyawa di tapak binaan. Berita penemuan 28 kes baharu di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang baru-baru ini menambahkan lagi keresahan para pekerja sektor pembinaan. Oleh yang demikian, dalam memastikan tiada lagi pertambahan kes positif kepada kluster pembinaan ini, semua pihak yang terlibat di tapak binaan terutamanya warga asing telah diwajibkan menjalani saringan kesihatan. Majikan perlu memastikan semua pekerja di tapak binaan bebas dari gejala COVID-19 seperti demam, batuk, sukar bernafas dan hilang deria rasa dan bau. 
Mendepani Norma Baharu
Ternyata virus COVID-19 ini memberi impak dalam pelbagai aspek di sektor pembinaan, sama ada dari aspek penekanan baharu terhadap tahap keselamatan di tapak pembinaan mahupun pemanjangan masa pembinaan projek. Syarikat pembinaan yang kembali beroperasi akan berdepan dengan realiti baharu yang ‘kasar’. Terdapat paradigma baharu dalam banyak aspek pembinaan yang menjurus kepada penukaran cara kerja sedia ada oleh kontraktor dengan mengadaptasikan norma baharu dalam kerja-kerja pembinaan.  Ianya bukanlah lagi satu pilihan, tetapi dilihat sebagai keperluan yang wajib dipatuhi dalam pelaksanaan kerja di tapak binaan. Sememangnya pada fasa permulaan pengoperasian semula sektor pembinaan ini, keadaan mengadaptasi cara kerja sedia ada kepada norma baharu ini dilihat agak mencabar. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, baik dari pasukan pengurusan projek sehinggalah kepada pekerja- pekerja di tapak binaan. Perkara asas yang mesti diamalkan sepanjang masa di tapak binaan termasuklah mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mengelap/mensanitasi peralatan yang digunakan.
Secara amnya, norma-norma baharu yang perlu diadaptasikan dalam projek-projek pembinaan adalah seperti berikut:
1.    Sistem  pengurusan  risiko  terancang  sedia ada perlu dinilai semula dengan 
mengambil kira risiko wabak COVID-19 oleh pasukan projek.
2.    Pasukan projek di tapak binaan perlu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melaksanakan amalan penjarakan sosial untuk memastikan kontak minima sesama pekerja.
3.    Saringan kesihatan dilakukan untuk semua pekerja dan pelawat yang inginkan akses ke tapak. Sekiranya terdapat pekerja yang kurang sihat, tindakan sewajarnya perlu diambil dengan membawa pekerja mendapatkan rawatan dengan kadar segera. 
4.    Mengimplementasikan strategi dalam penjadualan sub kontraktor. Jika sebelum ini terdapat dua sub kontraktor bertugas serentak ditempat yang sama, dengan norma baharu ini pelaksanaan kerja sedemikian tidak lagi dibolehkan.
5.    Menilai kembali dan membuat penjadualan semula pekerja bagi satu-satu kerja di satu kawasan di dalam tapak projek dalam satu-satu masa dan mengamalkan kerja syif secara berperingkat.
 
Kesimpulan

Kepatuhan terhadap undang-undang dan SOP dalam industri pembinaan bukanlah sesuatu yang baharu. Selama ini pun terdapat pelbagai garis panduan dari agensi berkaitan yang perlu dipatuhi oleh kontraktor dan syarikat pembinaan. Cuma di dalam norma baharu ini, pematuhan tambahan adalah sangat penting untuk dilibatkan iaitu SOP dalam pencegahan penularan COVID-19. Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat dalam sektor pembinaan hendaklah bersama-sama mengamalkan kawalan kendiri untuk memastikan penularan wabak COVID-19 dihentikan sepenuhnya terutamanya dari kluster pembinaan.
Memandangkan tempoh PKPB telah bermula dan undang-undang berkaitan sedang dikuatkuasakan, keresahan dan kerisauan terhadap sikap dan kepatuhan kepada SOP ini tetap ada. Namun begitu, dengan adanya disiplin diri yang tinggi dalam mengamalkan kawalan kendiri berkaitan langkah pencegahan COVID-19, tidak mustahil bilangan kes positif dari kluster pembinaan dapat dikurangkan seterusnya mencapai sifar kes. Pada masa akan datang, penggunaan teknologi jarak jauh dalam kerja-kerja pembinaan dengan bilangan pekerja yang minima di tapak binaan bukan lagi sesuatu yang asing – inilah  norma baharu yang perlu diterima dan didepani oleh semua yang terlibat di sektor pembinaan walaupun pandemik COVID-19 sudah berakhir.

Sektor Pembinaan di Era COVID-19: Dilema Pekerja Pembinaan dan Cabaran Mendepani Norma Baharu

                
Penulis adalah Ir. Ts. Dr. Nurhidayah Azmy, Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik dan Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri