Skip to main content

100 mahasiswa meriahkan Sambutan Hari Ozon Sedunia

Pekan, 17 September 2020 - Lebih 100 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon Peringkat Negeri Pahang Sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2020 yang disambut pada 16 September setiap tahun. 

Program itu mendapat kerjasama pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang dan Alam Flora Sdn. Bhd.

Peserta berpeluang menjelajah kampus dalam Program Ozone for Life Tour dengan menyertai pertandingan fotografi, plogging, penanaman pokok, ceramah, kuiz interaktif, pengumpulan minyak masak terpakai, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik serta pengujian percuma gas pendingin hawa kenderaan.  

Majlis dirasmikan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang, Haji Mohd Sani Mat Daud. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Pengarah Operasi JAS, Noor Shahniyati Ahmad Shukri dan Pengurus Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Alam Flora Sdn. Bhd., Dr. Ramizu Abdul Rahim, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMP, Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya dan Pengurus Kawasan Perkhidmatan Pahang 2 Alam Flora Sdn. Bhd., Mohd Hadzlin Nadzri.

Menurut Haji Mohd Sani, penglibatan UMP dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dan meningkatkan penghayatan nilai alam sekitar dalam kalangan warga pendidik dan mahasiswa yang merupakan generasi yang akan menerajui negara. 

“Kerjasama institusi dan agensi ini juga menggalakkan pelaksanaan kawalan kendiri bagi mencegah berlakunya pencemaran alam sekitar dalam kalangan industri,” katanya dalam perasmian yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMP Pekan. 

Bagi Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli pula, UMP turut melestari dan menghijaukan kampus di bawah inisiatif Kampus Lestari. 

“Ia merupakan polisi pembangunan dan pengurusan fasiliti kampus yang mengambil kira perspektif sistem dan ekonomi sekitar. 

“Terdapat tujuh inisiatif utama dalam Pelan Kampus Lestari ini iaitu Pembangunan Mampan dan Fasiliti Hijau, Penjimatan Tenaga dan Sumber Air, Kampus Hijau, Pengangkutan Cekap, Pengurusan Sisa Organik, Bukan Organik dan Berjadual, Teknologi Lestari dan Kampus Selamat,” katanya.

“Saya berharap agar dengan penganjuran program kesedaran perlindungan lapisan ozon ini, kita akan lebih memahami kepentingan memelihara dan memulihara lapisan ozon dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih baik,” ujarnya. 

Para peserta bukan sahaja dapat meneroka keindahan kampus malah berpeluang mendapatkan maklumat mengenai spesis pokok-pokok tropika yang terdapat di dalam kampus juga pokok jenis nadir.

Manakala di Rimba Lestari yang berkeluasan 26.82 ekar itu membolehkan peserta mengenali lebih 800 pokok hutan dan 1,800 pokok akasia. 

Antara pokok kayu tropika yang terdapat di Rimba Lestari ialah tongkat ali, meranti tembaga, ketapang, merbau, cengal, beruas, jelutung dan lain-lain.

Sebanyak 51 kg sisa yang boleh dikitar semula dan 98 kg minyak masak terpakai berjaya dikumpul sepanjang program ini bagi memupuk kesedaran terhadap pengurusan sisa yang boleh mencemarkan alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik. 

 

Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan  Media,  Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit