Skip to main content

128 Pegawai Kadet PALAPES UMP Terima Pentauliahan Leftenan Muda

Johor Bahru, 3 Ogos- Seramai 128 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada  perkhidmatan tentera darat,  laut dan udara menerima pentauliahan sebagai Pegawai Muda dalam Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat Leftenan Muda.  

Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-38 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Johor dengan disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Baginda telah sudi mencemar duli untuk memeriksa perbarisan dan menerima tabik hormat daripada 1560 pegawai-pegawai kadet dari 18 Universiti Awam di Padang Kawad UTM.  Acara diteruskan dengan penganugerahan watikah tauliah kepada pegawai-pegawai muda tersebut yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar UTM.

Terdahulu dalam titah ucapannya, Tunku Ismail mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pegawai kadet yang telah berjaya menamatkan latihan dan bersedia untuk ditauliahkan sebagai pegawai tentera di ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM amnya dan pasukan simpanan khasnya. Baginda juga berpesan agar pegawai-pegawai muda ini menjadi insan yang lebih baik dengan berbekalkan pengalaman dan latihan yang dijalani seterusnya menjadi pemimpin yang sentiasa peka dengan pembangunan negara.  Selain itu, menekankan pentingnya kesetiaan kepada raja dan negara dalam mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum.

Dalam pentauliahan kali ini, Tunku Ismail  berkenan menganugerahkan pedang kehormat kepada pegawai- pegawai kadet terbaik dari  setiap universiti. Seramai tiga orang orang pegawai kadet UMP yang mewakili perkhidmatan darat, laut dan udara telah dianugerahkan pedang kehormat.  Mereka adalah  Pegawai Kadet Sarjan Mohd Najmi   Muhamad Zamri dari PALAPES Darat yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pegawai Rendah Kanan Amirul Aiman  Johari dari PALAPES Laut yang merupakan  pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, manakala mewakili PALAPES Udara adalah Pegawai Rendah Kanan Norashikin  Samsuddin yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komputer Sistem dan Rangkaian.  

Bagi Leftenan Muda Mohd Najmi  beliau bersyukur dengan penganugerahan pedang kehormat dan berterima kasih kepada seluruh pegawai-pegawai dan jurulatih yang mengajar dan mencurahkan ilmu ketenteraaan selama 3 tahun beliau mengikuti kursus PALAPES di UMP.  Beliau juga berazam akan terus bergiat aktif dan menyumbang tenaga di dalam pasukan Askar Wataniah walaupun telah bekerjaya kelak. Turut hadir mewakili UMP dalam majlis pentauliahan ini ialah Komander (K) Prof Dato’ Ts Dr. Yuserrie  Zainuddin yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Peljar dan Alumni), Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UMP, Kapten Mohd Azam Muhamad Akhir, dan Dekan Pembangunan Pelajar UMP, Dr Ahmad Johari  Mohamad.
Dm

Disediakan oleh Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UMP, Kapten Mohd Azam Muhamad Akhir

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri