Skip to main content

2773 bakal bergraduasi dalam Konvokesyen UMP

Kuantan, 2 November- Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal meraikan seramai 2773 graduan bersempena dalam Majlis Konvokesyen UMP  kali ke-13 yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 10 dan 11 November depan di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. Majlis menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP mencemar duli mengurniakan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada graduan pada sidang pertama konvokesyen.

Daripada jumlah ini seramai 63 orang merupakan graduan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD), 172 orang graduan Sarjana, 1713 orang graduan Sarjana Muda, 40 graduan Dwi Ijazah,  270 orang graduan Diploma, 221 graduan Sarjana Eksekutif, 52 orang Bacelor Eksekutif dan 242 orang graduan Diploma Eksekutif membabitkan sembilan fakulti dan dua pusat pengajian.

Manakala majlis menyaksikan jumlah graduan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (264), Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (203), Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (299), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (307), Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (296), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (136), Fakulti Sains & Teknologi Industri (144), Fakulti Pengurusan Industri (183), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (191), UMP Advanced (515) dan Institut Pengajian Siswazah (235).

Daripada jumlah tersebut seramai 40 graduan dwiijazah menerima dua ijazah serentak setelah menamatkan pengajian masing-masing. Mereka merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik dan program Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif hasil program kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman (HSKA). Manakala Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan hasil kerjasama Reutlingen University yang buat pertama kalinya bergraduasi pada kali ini.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, universiti turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (Elektronik) kepada mantan Pengarah Urusan Motorola Solutions Sdn. Bhd, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan beliau.  

“Universiti amat menghargai manfaat besar hasil perkongsian pengalaman profesional dan sumbangan idea beliau sebagai Profesor Adjung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan peranannya menjayakan CEO@Faculty Program kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Beliau turut tampil mendukung inisiatif wakaf dan endowmen pendidikan di UMP melalui platform MyGift dan kesungguhan dalam meningkatkan literasi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar sekolah,” katanya. 

Dr. Hari juga pernah menerima Anugerah CEO Terbaik, Anugerah CEO Paling Menyerlah dan Anugerah CEO Paling Aktif terhadap komitmen tinggi dalam menjayakan CEO@Faculty Program tersebut. Dalam pada itu seramai 28 graduan menerima anugerah kecemerlangan universiti dan hadiah industri manakala tiga anugerah baharu yang diperkenalkan kali ini adalah   Anugerah Kecemerlangan BASF Petronas, Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga dan Anugerah Kecemerlangan Setegap Ventures.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri