Skip to main content

344 pelatih terima Sijil Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat

Kuantan, 7 Oktober- Seramai 344 pelatih dari Kuantan dan Pekan menerima Sijil Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat setelah berjaya menamatkan latihan  Program Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER yang dijalankan Universiti Mlaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama bersama pihak ECERDC bagi merealisasikan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Hadir menyampaikan sijil Ketua Pegawai Eksekutif, UMP Advanced Education, Dr. Mohamad Rozi Hassan,  Pengurus Besar Pejabat Wilayah Negeri Pahang, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Mazlan Sharudin, Presiden Persatuan Wanita UMP, Prof. Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pengurus Besar Akademik dan Rundingcara Pelajar,  Prof Madya Dr Mohd. Rashid Ab Hamid dan Pengurus Besar Sosio Ekonomi dan Projek Khas UMP Advanced, Zainal Bahari.

 

“Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER umpamanya, merupakan antara inisiatif utama UMP dalam merakyatkan kewujudannya yang bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi juga sebagai sebuah institusi pembangunan sosioekonomi untuk komuniti melalui program pembelajaran sepanjang hayat (PSH),” ujar Dr. Mohamad Rozi yang hadir membacakan terks ucapan Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Ujarnya, program ini menitikberatkan perubahan sikap dan pengetahuan para peserta sebagai prasyarat transformasi taraf hidup dan landskap sosioekonomi mereka. Medium PSH yang digunakan selama ini telah berjaya membuka minda para peserta dari pelbagai kumpulan usia untuk menjadi anggota komuniti yang terlatih dan berpengetahuan dalam sembilan lapangan kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan. 

Selain itu, PSH mensasarkan anggota komuniti yang berbeza latar belakang sosioekonominya berbanding program-program akademik arus perdana, maka pendekatan penyampaiannya juga harus lebih bersifat praktikal kepada mereka. Justeru katanya, nisbah kandungan program latihan ini iaitu 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori amat relevan dengan keperluan para peserta dan sewajarnya dikekalkan malahan menyarankan kandungan kursus ini dapat dipertingkatkan lagi dengan elemen pendedahan lain seperti lawatan industri, perkongsian tokoh, komunikasi dan asas undang-undang perniagaan.

Lebih bermakna 77 peratus peserta ini telah menceburi bidang keusahawanan manakala 23 peratus lagi telah memperoleh penempatan pekerjaan, khususnya dalam industri elektrik dan elektronik. Dalam pada itu sebanyak 95 peratus daripada keseluruhan peserta telah berjaya mendapat pekerjaan atau menjadi usahawan serta 80 peratus peserta pula berjaya meningkatkan pendapatan daripada RM500 kepada sekurang-kurangnya RM900.

Pihaknya merakamkan ucapan penghargaan kepada pasukan kerja dan tenaga pengajar dari universiti, UMP Advanced, Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) dan khususnya buat ECERDC atas komitmen tinggi dan perkhidmatan cemerlang mereka dalam menjayakan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawan Empower ECER ini.

Majlis menyaksikan pelatih kursus membaiki motorsikal,  Sahril Din dari Kampung Gumum Tasik Cini dinobatkan Peserta Terbaik Orang Asli manakala usahawan makanan, Hasliza Abdul Hadi dipilih Peserta Terbaik Daerah Kuantan dan Siti Shakirah Andi Raja dipilih sebagai peserta Terbaik Daerah Pekan.