Skip to main content

41 kursus SPPT dalam pelbagai bidang terbuka ditawarkan buat pelajar UMP

PEKAN, 18 Februari 2021 - Pelajar program kejuruteraan kini mampu menguasai pelbagai bidang pengajian dengan mengikuti kursus kewangan, psikologi, pengajian Islam, logistik, bahasa dan pelbagai bidang lain yang ditawarkan secara silang bidang (cross field) dalam pelbagai bidang (multidisciplinary) mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Tawaran Sijil Program Pengkhususan Terbuka (SPPT) ini dibuka khusus buat semua pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di tahun dua, tiga dan empat melalui penawaran program di Kolej Kejuruteraan, Kolej Teknologi Kejuruteraan, Kolej Komputeran dan Sains Gunaan serta Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan.

Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA), Profesor Dr. Kamal Yusoh, kursus SPPT yang ditawarkan ini bersifat pilihan kepada pelajar sebagai peluang untuk mempelbagaikan kemahiran serta meneroka bakat baharu. 

“Pada semester ini, sebanyak 41 kursus berkonsepkan sijil pengkhususan program akademik sesuatu bidang ditawarkan berdasarkan kepakaran yang dimiliki oleh tenaga pengajar di universiti ini. 

“Pelajar yang mengambil kesemua kursus yang ditawarkan secara berpakej dalam satu bidang akan mendapat sijil SPPT dalam bidang tersebut manakala pelajar yang mengambil kursus secara berasingan akan mendapat Sijil Tamat Kursus (STK) bagi kursus yang diambil.

“Pelajar yang mengambil kursus ini secara berpakej dan lulus kesemua kursus dengan memperoleh 15 jam kredit akan melayakkan mereka mendapatkan sijil SPPT,” katanya. 

Tambahnya lagi, bagi pelajar yang mengambil kursus yang tidak berpakej, jumlah jam kredit adalah tertakluk kepada bilangan kursus yang diambil. 

Profesor Dr. Kamal turut menyarankan para pelajar agar merebut peluang ini sebagai nilai tambah. 

“Lebih menarik, pendaftaran kursus yang ditawarkan mengikut semester tidak dikenakan sebarang bayaran ataupun yuran selagi pelajar masih berstatus pelajar aktif di UMP. 

“Namun demikian, mereka yang telah tamat pengajian hanya akan dikenakan bayaran sekiranya ingin mendapatkan sijil SPPT atau sijil STK.  

“Senarai kursus dan bidang boleh disemak di dalam e-Community pelajar di bahagian SPT Course Registration. 

“Pelajar boleh membuat pendaftaran kursus secara dalam talian dalam tempoh 14 hari sebelum minggu pengkuliahan bermula sehingga minggu kedua pengkuliahan,” ujarnya. 

Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut mengadakan webinar pada 19 Februari 2021 mulai jam 8.45 malam hingga 10.30 malam dan pada 25 Februari 2021 mulai jam 3.00 petang hingga 5.00 petang bagi memberi penerangan dan manfaat program ini kepada pelajar.

Pelajar yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi PIDA di 09-424 5473/5469 atau pida@ump.edu.my.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit