Skip to main content

7 subjek UMP disenarai dalam ranking dunia

Pekan, 5 Mac- Sebanyak tujuh subjek Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai senarai universiti elit dunia  apabila tersenarai dalam 'QS World University Rankings by Subjects 2020' yang diumum baru-baru ini. Tujuh subjek berberkenaan adalah bidang Kejuruteraan & Teknologi (386), Kejuruteraan Kimia (151-200), Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik (401-450) Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik & Pembuatan (351-400), Sains Tulen (Kimia) (451-500), Sains Tulen (Sains Bahan) (351-400) dan Sains Sosial & Pengurusan (Pengajian Perniagaan & Pengurusan) (451-500).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts Dr Mohd. Rosli Hainin berkata, semua subjek disenaraikan berdasarkan prestasi berdasarkan empat petunjuk iaitu reputasi akademik, reputasi siswazah oleh majikan, jumlah artikel yang diindeks dan indeks H yang juga diekstrak dari Scopus.

“Pada keseluruhannya UMP menunjukkan peningkatan hasil pencapaian baik  bagi reputasi graduan oleh majikan dan indeks H dari Scopus selain kejayaan pensyarah yang menghasilkan penulisan penyelidikan berkualiti dan dijadikan rujukan antarabangsa," katanya.

Kejayaan ini memberikan inspirasi buat mahasiswa UMP untuk berkongsi kejayaan. Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2019/2020, Mohd Fitri Zulkaffli, daripada Fakulti Komputeran, pencapaian UMP tersenarai dalam Penarafan QS World University Rankings by Subject bagi tahun ini membuktikan universiti ini sedang berada di landasan yang tepat dalam merealisasikan visinya untuk menjadi sebuah Universiti Teknologi Terunggul menjelang 2050.

“Penarafan ini lebih manis setelah kejayaan UMP memahat nama di tangga ke-134 Asia (QS University Ranking Asia 2020) dan di kedudukan 751–800 Dunia (QS World University Rankings 2020). Sebagai sebuah universiti dengan penarafan 5 bintang (QS Stars Rating System), kualiti akademik serta sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) semestinya dititikberatkan oleh universiti dalam usaha untuk memastikan graduan UMP kekal relevan dan memenuhi permintaan industri,” katanya.

Tambahnya sebagai mahasiswa di UMP, beliau sangat berbangga dengan pencapaian yang dilakar oleh universiti ini. Mahasiswa UMP khususnya graduan akan menerima manfaat kesan dari penarafan ini khasnya apabila mereka mula melangkah ke alam pekerjaan kerana jenama UMP sebagai universiti teknologi terunggul akan memberikan reputasi yang baik kepada graduan UMP.

Sementara itu, bagi Ahmad Rifqi Mohd. Jerome Rinjes yang merupakan Naib Yang Dipertua (Komunikasi dan Korporat) MPP 2019/2020 daripada Kolej Kejuruteraan turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UMP yang mana sebanyak 7 subjek yang diajar di nuniversiti ini tersenarai dalam Penarafan QS World University Rankings by Subject.  

“Pencapaian ini telah meyakinkan diri saya sebagai seorang pelajar UMP apabila ingin memperkenalkan UMP kepada warga awam dan orang luar secara global untuk menuntut ilmu dan berkolaborasi dengan UMP.

Selain itu, perkara ini juga akan meningkatkan semangat mahasiswa untuk menyumbang kepada lain-lain pencapaian yang akan datang. Beliau mengharapkan UMP akan terus berusaha dalam mencapai kejayaan terutamanya dalam melahirkan graduan holistik.

“Hari demi hari, prestasi cemerlang dan keunggulan UMP semakin terserlah di mata masyarakat. Kejayaan ini semestinya menjadi kebanggaan buat seluruh warga dan tenaga kerja UMP yang sentiasa berganding bahu dalam mengharumkan nama UMP di mata dunia,” kata Yasmin Izureen Binti Ibrahim daripada Fakulti Sains Teknologi dan Industri (FSTI).

Pastinya UMP menjadi pilihan yang terbaik untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, ijazah mahupun di peringkat yang lebih tinggi. UMP juga merupakan sebuah platform yang tepat untuk mahasiswa mengasah dan mengembangkan potensi diri sama ada dari segi kemahiran komunikasi, “soft skills’ dan juga bakat kepimpinan agar dapat menjadi mahasiswa yang berdaya saing dan mempunyai kelas yang tersendiri. 

Pihaknya percaya dengan penarafan ini merupakan kredit tambahan bagi mengetengahkan dan memperkenalkan graduan UMP yang kompeten di pelbagai sektor dan industri. Sekali gus menyakinkan majikan yakin terhadap graduan UMP.

Turut berkongsi kejayaan adalah mahasiswa Kolej Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Kimia iaitu Amyleen Barnabas Alex. Menurutnya, kejayaan UMP ini telah memberi kesan yang amat positif kepada dirinya dan seluruh warga UMP. Beliau berharap agar UMP akan terus mencipta nama di seluruh Malaysia dan juga di persada dunia dengan kerjasama seluruh warga universiti.

Manakala Ong Voon Chyi dari Kolej Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Kimia mengucapkan syabas buat warga kerja dan mahasiswa UMP. “Saya berbangga kerana dapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti teknologi yang bertaraf antarabangsa. UMP bukan sahaja fokus kepada pencapaian bidang akademik pelajar malahan juga jasmani dan rohani setiap orang pelajar. Harapannya agar UMP dapat merealisasikan visi dan misi dengan memaksimumkan potensi mahasiswa supaya dapat memanfaatkan masyarakat setempat. Justeru katanya, usaha ini akan menjadikan UMP lebih dikenali di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.  

TAGS / KEYWORDS