Skip to main content

Atlet Berbasikal UMP Sumbang Pingat

Pekan,  13 Ogos – Atlet Berbasikal Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd Fakhrurrazi  Ishak meraih pingat perak dalam acara basikal  bagi kategori Individu (VIP) dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-43 baru-baru ini selepas ditewaskan oleh atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Mohd Irwan Yusof dengan perbezaan masa 1.624 s.

Dr. Mohd Fakhrurrazi melahirkan perasaan amat bersyukur dan merasakan kemenangan itu amat bermakna pada dirinya yang julung kali beraksi dalam acara  berbasikal di Kejohanan SUKUM. Tambahnya, kejayaan ini berkat usaha semua warga UMP yang banyak memberi sokongan kepada atlet universiti. Beliau juga ingin merakamkan penghargaan  terima kasih kepada jurulatih, Pusat Sukan UMP dan pihak  pengurusan tertinggi yang memberi kepercayaan untuk menyertai pertandingan ini.

“Sebenarnya saingan amat sengit  terutama pelumba yang lebih pengalaman dan muda dari saya, namun saya sahut cabaran ini dengan tekad dan berani melakukan sehabis baik,” katanya yang merupakan Ketua Program Teknologi Kejuruteraan Pengurusan Insfrastuktur, Fakulti Teknologi Kejuruteraan UMP.

Bagi pingat gangsa pula dimenangi oleh Dr. Shaffid Md Shariff dari Universiti  Sains Islam Malaysia (USIM) dengan mencatat masa 1:11:17.5s. Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dato’ Dr. Yusserrie Zainuddin.

Acara Lumba berbasikal ini disertai lebih 190 atlet seluruh universiti yang  melalui jarak perlumbaan 42 km bermula dari UMP Pekan. Acara ini dibahagikan kepada  3 kategori iaitu Acara Lumba Individu (VIP), Lumba Individu (MTB – Senior dan Veteran) dan acara Ujian Masa Berpasukan (TTT). Turut serta Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Ts . Dr. Shahrin Sahib yang turut menyertai pertandingan ini bagi Kategori Lumba Individu (VIP).

Sementara itu bagi kategori Lumba individu MTB (Senior), pingat emas diraih oleh Saiful Nizwan Mhd Saleh dari  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pingat perak dan gangsa pula dimenangi oleh Muhammad Adhwa Amzar Sagnal dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Muhammad Firdaus Osman dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Manakala kategori Lumba Individu MTB (Veteran), pingat emas dan perak telah menjadi milik Universiti Sains Malaysia menerusi atlet berbasikal USM Abdul Halim Che Aat dan  Mohd Kamil Ashar. Manakala  pingat gangsa dimenangi oleh  Ahmad Ritaudin Hamzah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Seterusnya bagi kategori Ujian Masa berpasukan (TTT) pingat emas telah dimenangi oleh pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan mencatat kepantasan masa 1:07:20s, pingat perak diraih oleh UTeM dengan catatan masa 1:08:15s dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  membawa pulang pingat gangsa dalam acara ini dengan catatan masa 1:10:26s.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri