Skip to main content

Bangunan Fakulti Komputeran bakal beroperasi Oktober depan

Pekan, 9 September 2020 – Bangunan Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan bakal beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi apabila secara rasminya ia telah diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) kepada pihak universiti dalam majlis yang diadakan di Dewan Kuliah, FK baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Pembangunan), Ir. Radzwan Kasim, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor  (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Pengarah Kerja Negeri Pahang, Suhaimi Jamaludin, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta UMP, Dr. Mohamad Idris Ali dan Pengerusi Pembinaan Jayazira Sdn. Bhd., Dato’ Haji Adi Munawar Haji Md Din.

Dalam ucapannya, Ir. Radzwan berkata, pihak JKR selaku agensi pelaksana ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP dan semua pihak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan dan mengharapkan kerjasama erat ini dikekalkan bagi projek yang akan datang.

“Projek pembinaan bangunan ini telah mula dibina sejak 29 Mac 2016 dengan amanah dan kepercayaan telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada kontraktor Pembinaan Jayazira Sdn. Bhd. 

“Tawaran skop pembinaan banggunan ini telah dilaksanakan melibatkan semua kerja mekanikal dan elektrik di bawah tanggungjawab kontraktor utama.

“Pembinaan bangunan empat tingkat dengan keluasan lantai 18,107.10 meter persegi ini menempatkan ruang-ruang utama seperti pejabat Dekan, bilik staf akademik, bilik kuliah, makmal, kemudahan bersama staf dan pelajar, serta ruang guna sama,” katanya. 

Selain itu, turut disediakan sebanyak 169 unit  parkir kereta, 141 parkir motosikal dan enam  parkir untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Tambahnya lagi, penglibatan semua pihak berkepentingan amatlah penting dan pendekatan menitikberatkan keperluan sense of urgency, keselamatan dan komitmen semua pihak yang mendorong kejayaan projek ini walau turut terkesan dengan masalah negara dalam menghadapi cabaran Covid-19. 

“Namun, semua halangan dan cabaran tersebut berjaya dilalui sehingga siapnya projek ini dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 19 Ogos lalu.

“Justeru, dalam program ini kami menyerahkan tiga pencapaian iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), As-Built dan Draf Penyata Akaun Muktamad. 

“Saya juga mengucapkan tahniah buat Pasukan Pelaksaan Projek JKR Pahang, pihak kontraktor dan semua yang terlibat,” katanya. 
Kitaran projek bangunan FK kini memasuki peringkat tempoh tanggungan kecacatan selama setahun sehingga 18 Ogos 2021. 

Beliau berharap pihak kontraktor dapat mengekalkan prestasi dengan meneruskan tanggungjawabnya dan bertindak cepat dalam mengendalikan sebarang aduan sepanjang tempoh tanggungan kecacatan tersebut.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR dan Pembinaan Jayazira kerana dapat merealisasikan impian warga UMP. 

Pihaknya sentiasa menyaksikan pembinaan dan pembangunan di UMP Pekan sejak awal lagi dan sentiasa menanti pembangunan seterusnya seperti beberapa fakulti lagi dan Dewan Konvokesyen. 

Beliau berharap dengan beroperasinya fakulti ini dapat merancakkan lagi pembangunan kampus dalam melahirkan insan yang cemerlang suatu hari nanti.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris