Skip to main content

Bengkel bahasa Inggeris bantu pelajar program DLP

Kuantan, 2 Januari- Penganjuran Dual Language Programme (DLP) Enrichment Workshop yang dijalankan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dalam kalangan pelajar sekolah mampu memberi pendedahan pelajar untuk menguasai subjek Matematik dan Sains yang dijalankan dalam bahasa Inggeris di sekolah terpilih.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pihak sekolah mengambil inisiatif mengadakan bengkel membabitkan seramai 43 orang pelajar dari Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad dalam memberi peluang pelajar meningkatkan pemahaman penggunaan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran di dalam kelas.

“Pelajar diterapkan dengan pelbagai aktiviti dan diberi suntikan semangat dan keyakinan serta kesedaran kepentingan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran khususnya dalam subjek Sains yang dilaksanakan di sekolah ini. Ianya menjadikan mereka lebih berazam dan bermotivasi untuk meningkatkan diri dalam kemahiran Bahasa Inggeris,” kata Guru Bahasa Kanan PBMSK yang juga mentor SMK Seri Pekan, Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin.

Menurut beliau, setiap pelajar ditugaskan dalam kerja kumpulan dan mereka perlu menyiapkan laporan tugasan dan akan memberi pembentangan secara berkumpulan dengan menggunakan konsep ‘Pecha Kucha Style’ yang lebih menarik dan interaktif. Program turut dijayakan oleh 10 mahasiswa UMP sebagai fasilitator dan Puan Aisyah Hanum yang juga dari Jabatan Bahasa Inggeris, PBMSK.

Bagi guru penyelaras program, SMK Seri Pekan, Norbaiti Bakari, berkata, peluang masuk ke kampus UMP dapat menarik minat untuk belajar dengan lebih bersungguh–sungguh agar berjaya sampai ke menara gading. 

Malahan dapat menggunakan kemudahan lain termasuk makmal Bahasa Inggeris yang amat mengagumkan sebagai menyokong persekitaran meningkatkan kecekapan dalam berbahasa Inggeris.

Lebih menarik pelajar ini turut berpeluang berkunjung ke Makmal Berpusat UMP dan menyaksikan bagaimana sesuatu eksperimen dijalankan dalam makmal yang mempunyai peralatan yang canggih dan yang lebih membanggakan lagi staf di Makmal Pusat memberi penerangan di dalam Bahasa Inggeris dan ini berjaya mengwujudkan persekitaran Bahasa Inggeris bagi para pelajar terlibat. 

Program bagi tahun 2019 bakal dirancang dan diperkemaskan lagi bagi memberi manfaat kepada sekolah khususnya para pelajar dan guru serta melahirkan satu kolaborasi serta hubungan yang mantap antara UMP dan sekolah kluster dibawah tindakan UMP. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim