Skip to main content

Buku terbitan UMP dilancar sempena BBW 2020

Kuantan, 5 Mac- Buku travelog perjalanan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP)  dalam membangunkan perniagaan sehingga berjaya berjudul “Saya Datang, Saya Lihat, Saya Takluk” hasil nukilan warga dalam kalangan mahasiswa Keusahawanan dan Pusat Keusahawanan dilancar baru-baru ini. Sebanyak empat buku UMP dilancarkan bersempena  Pesta Jualan Big Bad Wolf (BBW) yang sedang berlangsung sejak 28 Februari sehingga 9 Mac 2020 ini di Kompleks Sukan UMP Gambang.

Buku yang berjudul “Achtung,Achso,Viel Spass!!.” pula merupakan  hasil nukilan Pensyarah UMP, Prof. Madya Ir. Dr. Mohamad Rizza Othman dan Mardhiyah Mat Hussin yang berkongsikan pengalaman suka duka berada di negara Jerman.

Dua buah buku lagi berjudul “Memimpin Yang Terpimpin” mengenai model Kompetensi Bakat dan kepimpinan Universiti Awam yang ditulis oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohamad Rozi Hassan dan Ismie Roha Mohamed Jais. Manakala buku berjudul “Wonder of Oud” adalah hasil nukilan Dr. Puteri Fadzline Muhammad Tamyez, Dr. Fazeeda Mohamad, Prof. Madya Dr. Cheng Jack Kie dan Norul Amalina Sabri.

Majlis dilancarkan oleh Pengarah Pusat Keusahawan , Prof. Madya Ts. Dr. Hadi Manap dan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat. Hadir sama Pengurus Kanan Pejabat Naib Canselor UMP, Zainuddin Mat Husin, Pegawai Penerbit SUARA UMP (dahulu dikenali sebagai Penerbit UMP), Mohammad Azli Shukri dan Raymond Yeo Chin Hean  daripada Kualiti Books Sdn Bhd.

Pesta Jualan Big Bad Wolf (BBW) menyaksikan sebanyak 250 ribu naskah buku yang ditawarkan dengan potongan harga yang menarik serendah RM 1 menjadi tarikan utama.

Menurut Mohammad Azli, penganjuran BBW 2020 di UMP ini merupakan kali kedua  dianjurkan  selepas sambutan yang menggalakkan dari BBW yang telah diadakan pada tahun lepas. Ujarnya, sambutan sejak hari pertama yang diterima amat menggalakkan apabila pengunjung mula mengunjungi BBW ini seawal jam 9.00 pagi lagi.

Beliau mengharapkan masyarakat sekitar dapat mengambil peluang sebaik mungkin dengan berkunjung bersama keluarga memandangkan terdapat banyak pilihan buku termasuklah yang sesuai untuk kanak-kanak hingga dewasa dengan tawaran potongan harga yang amat berpatutan. 

Selain itu juga terdapat aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama pelajar Fakulti Teknologi  Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif dalam penghasilan eksperimen sains dan terdapat ikon-ikon animasi Malaysia seperti Ejen Ali juga Boboiboy sebagai tarikan pengunjung pada kali ini.  

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri