Skip to main content

Eksesais Leopard uji daya tahan PALAPES UMP

Pekan, 26 Januari- Ketahanan fizikal dan mental, sikap berani  dan jati diri seramai 126 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Malaysia Pahang (UMP) diuji dalam Eksesais Leopard selama 15 hari di sekitar Hutan Simpan Berkelah, Ladang Felda Lepar Hilir 5 dan Kem Force 136 Sg Miang Pekan. Program ini berakhir dengan aksi berani dalam kalangan Kadet Senior Batch pertama yang menampilkan adegan serangan yang mantap dengan simulasi letupan serta bantuan serangan dari kenderaan perisai.

Hadir menyaksikan detik mencabar ini ialah Naib Canselor UMP yang merupakan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kepten (Kehormat) Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Upacara Penutup Eksesais Leopard PALAPES Darat UMP sesi 2018/2019 yang diadakan di Ladang Felda Lepar Hilir 5 Kuantan baru-baru ini.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir berkata, Eksesais Leopard ini merupakan satu pendedahan kepada pegawai kadet yang terlibat bagi membentuk salsiah dan disiplin diri. Nilai-nilai ketenteraan yang diperoleh sepanjang latihan seperti disiplin, keberanian, integriti  dan kesetiaan yang boleh digunakan sebaik sahaja tamat pengajian di universiti untuk diamalkan dalam bidang pekerjaan kelak atau dipraktikkan dalam kehidupan seharian. 

“Pegawai didedahkan dengan pengetahuan ketenteraan mengikut peringkat dalam PALAPES. Mereka diuji dari segi ketahanan mental dan fizikal dalam melaksanakan semua latihan yang telah dirancangkan bagi melahirkan seorang pegawai muda sukarela yang kompeten dan berketerampilan serta mempunyai nilai-nilai kepimpinan dan jati diri yang tinggi,” katanya yang merakamkan ucapan tahniah kepada para pegawai kadet universiti itu kerana berjaya mengharungi cabaran sepanjang tempoh eksesais berlangsung.

Tambahnya, kekuatan setiap pegawai kadet tidak hanya menguasai teori yang dipelajari tetapi latihan berterusan yang disediakan termasuklah pendedahan melalui kepakaran dari pegawai –pegawai yang bertauliah.

Manakala menurut Ketua Jurulatih PALAPES Darat UMP, Mejar Faizul Johari Basriy pula, para pegawai kadet ini didedahkan dengan Ilmu Medan Perang (IMP), membaca peta, pandu arah, radio semboyan dan ujian kawad kaki. Objektif latihan ini bertujuan menguji pengetahuan dan kemahiran ketenteraan serta perintah dan kawalan (Command & Control) dalam Peperangan Melawan Insugensi (CIW) dan Peperangan Konvensional (CW).

Bagi fasa latihan CIW pula, para pegawai kadet telah diberikan tugas dan tanggungjawab dalam platun dan juga seksyen bagi memperkasakan tahap kepimpinan semasa melaksanakan aktiviti menduduki pengkalan, ronda tempur , serang hendap dan serang khemah sementara musuh. Manakala fasa latihan Peperangan Konvesional (CW), pegawai-pegawai kadet telah melaksanakan aktivti menduduki pertahanan, pengunduran, mara dan serangan akhir ke atas pertahanan musuh.

Ujar beliau, kejayaan ini juga membuktikan bahawa para pegawai kadet UMP berjiwa patriotisme yang kental serta memiliki semangat kesukarelawanan dan daya tahan yang tinggi. Semangat keperwiraan dengan ciri-ciri seperti inilah perlu sentiasa utuh dan tersemat di sanubari setiap pegawai kadet.

Bagi Pegawai Rendah Kanan, Amir Hamzah Hamzan, latihan eksesais kali ini banyak meberi impak yang positif kepada para Kadet Palapes Darat UMP. “Kami diajar dengan semangat setia kawan ketika menghadapi pelbagai rintangan, latihan yang diberikan cukup memantang kami dalam pengurusan masa, etika diri dan semangat berpasukan, sekaligus mampu melahirkan pelajar universiti yang berkaliber serta berdaya saing,” ujarnya ketika ditemubual selepas program.

Hadir sama dalam program, Ketua Cawangan Bantuan Latihan wakil Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Leftenan Kolonel Mohd Nazri Ismail, wakil Komandan Pusat Latihan Mekanis, Mejar Muhamad Fadhli Mohd, wakil Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Mejar Amirudin Ahmad dan Pemangku Timbalan Komandan Palapes UMP, Kapten Mohd Azam Mohammad Akhir.

Eksesais kali ini turut dibantu oleh Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) yang mengatur gerak seekor anjing pengesan dan dua buah kereta perisai MIFV dari Pusat Latihan Mekanis (PULAMEK).

Disediakan oleh Pemangku Timbalan Komandan PALAPES UMP, Kapten Mohd Azam Mohammad Akhir dan Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri