Skip to main content
“ErgoSpillBag” beg khas tangani tumpahan bahan kimia dalam makmal

“ErgoSpillBag” beg khas tangani tumpahan bahan kimia dalam makmal

Kuantan, 24 Jun- Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK) berjaya menghasilkan “ErgoSpillBag” bagi membantu pengguna makmal untuk bertindak dengan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan tumpahan bahan kimia di dalam makmal. Beg ini mengandungi “Chemical Spill Kit” dan mempunyai ciri-ciri yang lebih ringan, lebih kecil, ergonomik dan boleh digantung pada dinding di dalam makmal.

Menurut Pegawai Sains FTeK yang merupakan Ketua Kumpulan KIK, Ikram Safiee berkata, kebiasaannya “Chemical Spill Kit” yang kini digunakan di makmal FTek  diletakkan di dalam tong yang bersaiz besar yang beratnya melebihi 30 kg sekiranya mengandungi kit dan tong ini berada di dalam bilik yang berkunci serta berada jauh daripada makmal yang menggunakan bahan kimia.

Ujarnya, susunan kit di dalam tong yang agak tidak sistematik juga menyukarkan pengguna makmal sekiranya berlaku sebarang kecemasan tumpahan bahan kimia. Ini menyebabkan respon yang lambat daripada pengguna makmal untuk mengendalikan kerja-kerja pembersihan sekiranya berlaku tumpahan bahan kimia.

Justeru, pihaknya membangunkan satu produk “ErgoSpillBag” yang direka mengikut spesifikasi ergonomik iaitu beg yang mempunyai roda, hanya seberat lebih kurang 7 kg, mempunyai pemegang beg yang boleh laras, mempunyai ruang yang sistematik untuk setiap kit, reka bentuk luaran beg yang tidak memiliki sudut dan sisi tajam serta dilengkapi dengan penyangkut dinding agar boleh digantung di dalam makmal.

“Tumpahan bahan kimia adalah satu insiden kecemasan yang besar kemungkinan akan berlaku di mana-mana makmal yang mengendalikan bahan kimia. Respon yang pantas daripada pengguna makmal untuk mengendalikan tumpahan tersebut amat diperlukan bagi mengelakkan sebarang kesan terhadap kesihatan manusia,” katanya.

Bagi Penyelaras Kumpulan, Mimi Nabila Mohd Noordin berkata, projek ini telah dibangunkan atas inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan staf, pelajar dan sesiapa sahaja yang berada di dalam makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK) yang menggunakan bahan kimia. Inisiatif ini selari dengan kehendak Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di fakulti serta sejajar dengan keperluan standard OHSAS 18001: 2007.

Beg ini juga memudahkan pengguna makmal mengendalikan kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan kimia dan meningkatkan kecekapan sistem “Emergency Response Plan” di makmal FTeK.  Sekiranya berlaku tumpahan bahan kimia di makmal, staf perlu mengambil :ErgoSpillbag” yang telah tersedia di makmal  dan menggunakan kit yang terdapat di dalam beg mengikut susunan nombor penggunaan berdasarkan kepada manual yang terdapat di dalam beg tersebut.   

Projek yang dibantu oleh Dr. Ezrin Hani Sukadarin, Joharizal  Johari, Hairunnisa Osman, Mohamad Hafizi Che Mat, Mohd Shamsul Azmi Samsudin dan Mohd Azlan Sayuti ini berjaya meraih Anugerah Emas semasa Mini Konvensyen Team Excellence MPC Peringkat Wilayah Timur baru-baru ini. 

Disediakan oleh Mimi Nabila Mohd Noordin daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim