Skip to main content

Fakulti Komputeran bakal beroperasi di UMP Pekan mulai Oktober depan

Pekan, 13 Julai 2020 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang mempunyai lebih 1,500 orang pelajar prasiswazah dan pascasiswawazah bakal beroperasi dan memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di bangunan baharu yang terletak di UMP Pekan mulai Oktober depan. 
Bangunan lima tingkat berbentuk W ini mempunyai dua buah dewan kuliah utama yang boleh memuatkan 200 orang pelajar, dua buah mini auditorium, tujuh buah bilik kuliah, enam buah bilik seminar dan 50 buah makmal komputer bagi kemudahan pelajar. 
Ia juga mempunyai sebuah bilik mesyuarat utama yang dapat menempatkan kapasiti sehingga 90 orang.
Baru-baru ini, Pengerusi UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad telah mengadakan lawatan tapak ke bangunan FK yang baharu untuk melihat perkembangan pembangunan fakulti tersebut.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Fakulti Komputeran, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin.
Turut hadir ialah ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Mohd Yunus, Pengurus Besar Kanan, Pembinaan Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang (JKR), Ir. Haji Abu Bakar Md Sidek, Pengurus Besar Pembinaan JKR, Haji Mohd Fozi Sulaiman, dan wakil Jaya Zira Sdn. Bhd., Datuk Dr. Haji Baderisham Haji Jolly.
Dalam pembentangan perkembangan pembangunan projek ini, Ir. Haji Abu Bakar berkata, pemeriksaan untuk penyerahan dan tuntutan interim akhir telah pun dilakukan.
“Proses serahan perabot, makmal komputer, kerusi dewan kuliah dan bidai juga telah dilaksanakan.
“Pihak kami menjangkakan semua projek ini selesai dan dapat diserahkan kepada pihak fakulti dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Teknikal FK, Ts. Syahrulanuar Ngah yang turut membentangkan kemudahan yang terdapat dalam bangunan ini berkata, bangunan ini mempunyai 81 buah bilik staf akademik dan juga ruangan penempatan staf.
“Terdapat juga kemudahan surau, pantri, kafeteria, bilik sumber dan bilik Persatuan Teknologi Komputer (PETAKOM).
“Bilik-bilik lain ialah bilik dekan, timbalan dekan, profesor, staf pentadbiran dan pengurusan.
“Proses perpindahan staf akan bermula secara berperingkat dijangka sekitar bulan Ogos 2020 nanti,” ujarnya.
Tambahnya, kedudukan bangunan yang terletak bertentangan dengan tasik pastinya mengindahkan lagi suasana di fakulti dan pemandangan di sini.
Perpindahan FK ini akan menjadikan empat buah fakulti beroperasi di Pekan termasuk Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris