Skip to main content
FKASA anjur Persidangan Kebangsaan Kejuruteraan Angin & Gempa Bumi Kali Ke-3

FKASA anjur Persidangan Kebangsaan Kejuruteraan Angin & Gempa Bumi Kali Ke-3

Kuala Lumpur, 13 Julai - Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menganjurkan Persidangan Kejuruteraan Angin & Gempa Bumi (NCWE) Kali Ke-3  bertemakan ‘Built To Last'  baru-baru ini yang berlangsung di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur.

Bersempena dengan persidangan kali ini turut berlangsungnya Seminar Antarabangsa Kelestarian Kejuruteraan Pembinaan (ISCCE) yang dianjurkan bersama rakan strategik antarabangsa iaitu  Beijing Jiaotong University.

Pengerusi Persidangan, Dr. Mohamad Idris Ali berkata, penganjuran NCWE yang terdahulu adalah usaha sama dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) dan pada tahun ini, FKASA berbangga untuk memperkenalkan rakan kerjasama baharu iaitu Universiti Syiah Kuala (UNSYIAH) dari Indonesia.

“Kolaborasi antara ketiga-tiga universiti ini pastinya menjadi tarikan kepada penyelidik seluruh negara untuk berkumpul dan berkongsi hasil penyelidikan mereka. Lebih daripada 75 kertas telah diterima ke persidangan ini dan peserta berpeluang berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing,” ujar beliau.

Manakala menurut Noram Irwan Ramli yang menjalankan tugas Dekan FKASA pula,  pihaknya turut menerima penyertaan luar negara termasuk Korea Selatan, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu  dan berharap lebih ramai lagi penyelidik akan datang untuk menyertai persidangan pada masa depan.

Kemuncak persidangan dua hari ini adalah pembentangan daripada empat Panel Ucaptama yang terkenal di dalam bidang masing-masing iaitu Profesor Dr. Yukio Tamura dari Chongqing University, China dan Profesor Dr. Shuyang Cao dari Tongji University, China telah berkongsi kepakaran mereka dalam kejuruteraan angin.

Sementara itu Profesor Madya Dr. Guoqing Jing dari Beijing Jiaotong University, China membentangkan mengenai inovasinya yang berkaitan dengan kejuruteraan kereta api. Manakala Dr. Ade Faisal dari Univeritas Muhammadiyah Sumatera Utara membincangkan tentang bencana gempa.

Disediakan oleh Emma Melati Burhanuddin daripada Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri