Skip to main content

Forum Iklim Siap Siaga Tengkujuh, Peduli Cuaca Persiapan Hadapi Bencana

Kuantan, 11 Oktober- Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut (FIK MTL) bertemakan “Siap Siaga Tengkujuh, Peduli Cuaca” yang dijalankan Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan platform untuk menyalurkan maklumat kepada agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana, pihak media dan orang awam mengenai peranan dan perkhidmatan cuaca dan iklim, khususnya persiapan menghadapi Monsun Timur Laut pada penghujung tahun ini.

Penganjuran bersama ini dilihat sebagai medium terbaik dalam usaha untuk menerapkan kesedaran tentang cuaca dan iklim kepada agensi setempat, para siswazah serta pelajar dari institusi pengajian tinggi. Pertubuhan bukan kerajaan, universiti dan pelbagai sektor yang peka dan sensitif terhadap isu cuaca dan iklim terutamanya dalam konteks kesiapsiagaan menghadapi bencana terutamanya dalam membincangkan langkah-langkah persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh serta memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman dan hasil kajian terutama di dalam bidang berkaitan cuaca, iklim dan pengurusan bencana. 

Agensi terlibat membabitkan agensi pengurusan bencana pusat, negeri dan daerah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), para akademik dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Hadir merasmikan program Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr Mashitah Mohd. Yusoff, Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari, Pengarah Pusat Iklim Nasional, Dr. Fariza Yunus dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Dr Mohamad Idris Ali.

Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr. Ramzah memuji kolaborasi kedua-dua pihak ini dalam usaha mempelbagaikan disiplin kepakaran. Beliau percaya kerjasama dalam penerapan kesedaran tentang cuaca dan iklim melalui sumber kepakaran UMP dan kajian-kajian saintifik boleh diguna pakai bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi cuaca MMD. Sekalugus membolehkan tindak balas bantuan yang lebih pantas dan berkesan oleh agensi -agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mashitah berkata, kedudukan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang menghadap Laut China Selatan mendedahkan negeri-negeri di zon ini kepada impak cuaca dan bencana yang dibawa oleh Monsun Timur Laut saban tahun.

“Musibah banjir besar yang pernah melanda negeri-negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu pada tahun 1926, 1970,2007 dan 2014 misalnya memerlukan penelitian saintifik secara mendalam mengenai impak Monsun Timur Laut terhadap aspek kawalan dan pengurusan bencana, keselamatan dan kesihatan serta sosioekonomi setempat.

Sejak tahun 2007, UMP sentiasa proaktif berperanan dalam memberikan khidmat sokongan sukarelawan, logistik, teknikal dan saintifik kepada pelbagai agensi kerajaan, badan swasta dan pertubuhan sukarela semasa bencana banjir, khasnya di negeri Pahang,” ujarnya yang membacakan teks ucapan Naib Canselor UMP, Prof Dato Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim di Dewan Astaka UMP Gambang.

Selain itu, pada masa yang sama, UMP juga terpanggil untuk mengembangkan potensi dan kapasiti penyelidikannya khususnya yang melibatkan penelitian terhadap perubahan iklim, risiko cuaca, impak geoteknikal, kawalan bencana dan pengurusan bencana bagi meningkatkan keupayaan negara kita bagi menghadapi bencana alam.

Dalam majlis yang sama berlangsungnya pelancaran ‘Buku Disaster in Malaysia- Tomorrow is a Mystery’ yang mengandungi kajian dan scenario banjir besar yang berlaku antara tahun 2000 hingga 2015 oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam.

Turut berlangsung pembentangan kertas kerja dan forum yang membincangkan Tinjauan Monsun Timur Laut 2018/2019 yang disampaikan Dr. Ahmad Fairudz Jamaluddin (MMD) dan Pengaruh Iklim Monsun Timur Laut Terhadap Reka Bentuk Bangunan dan Kejuruteraan Awam oleh Noram Irwam Ramli (UMP). Manakala Ir. Rajaselvam a/l Govindaraju (JPS) berkongsi pengalaman tentang Sistem Amaran Banjir serta Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2018/2019 oleh Dato’ Ir. Rohaizi bin Mohd Jusoh (NADMA). Lebih 500 orang hadir dan berpeluang menyaksikan pameran terbuka melibatkan pelbagai agensi berkaitan.

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad