Skip to main content

Guna teknologi, e-Learning maksima impak pengalaman pembelajaran

Kuantan, 17 Mac- Pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengaktifkan kelas maya (e-Learning) dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran baru-baru ini rentetan pengumuman dalam Pekeliling Pentadbiran Bil. 3/2020 yang dikeluarkan oleh pihak Universiti baru-baru ini bagi menangani penularan penyakit berjangkit COVID-19 yang melanda negara.

Bagi pensyarah dari Fakulti Komputeran, Ts. Aziman Abdullah, menggunakan kaedah e-Learning dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) dan Google Classroom.

“Bagi Google Classroom ianya lebih sesuai kepada pemakluman dan dapat memberi maklum balas serta dapat menyemak hasil kerja pelajar manakala KALAM pula lebih kepada keperluan akreditasi atau perkara rasmi berkaitan universiti,” ujarnya.

Misalannya, beliau telah mereka bentuk aktiviti pembelajaran dengan membuat proposal. Pelajar perlu menggunakan waktu atau sesi yang dijadualkan untuk menyelesaikan tugasan pada tempoh masa yang telah ditetapkan tanpa memerlukan pelajar ke dewan kuliah.

Pensyarah perlu menggunakan teknologi (e-learning) ini untuk memaksimakan impak pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar. Selain itu, ianya sangat praktikal bukan sahaja pada waktu musim terdesak seperti ancaman wabak pada kali ini namun sesuai dijalankan pada hari pengkuliahan biasa.

“Cabaran terbesar dalam e-learning adalah sikap dan mentaliti pendidik yang tidak inginkan perubahan dan selesa dengan kaedah sedia ada,” katanya lagi.

Manakala menurut Timbalan Pengarah Pusat Sumber Pengajaran dan E-Pembelajaran (CIReL) yang juga merupakan pensyarah Fakulti Komputeran, Ts. Dr Awanis Romli pula memilih aplikasi Google Meet untuk pengajaran bersama pelajarnya baru-baru ini.

Beliau berbangga dengan maklum balas pelajar yang amat menggalakkan dan menyeronokkan menerusi pembelajaran atas talian kerana mereka boleh belajar di mana-mana sahaja. Tambahan pula, UMP melanggan GSuites for education yang membolehkan semua aplikasi  dalam GSuites ini boleh dinikmati secara percuma oleh semua pensyarah dan pelajar.

Begitu juga dengan pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Dr Suhaidah Hussain berkata, pengajaran berjalan lancar dan amat menggalakkan. Menerusi kaedah ini, ianya dapat membantu pensyarah dan pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara maya tanpa mengganggu jadual pengkuliahan.

Di samping itu, bagi kelas tutorial atau forum antara pelajar dan pensyarah dapat dijalankan dengan menggunakan platform KALAM. Cabaran utama adalah kekangan talian internet pelajar yang mana kadangkala ianya agak terhad di kawasan masing-masing.  Namun begitu, ianya bukan halangan buat pensyarah dan pelajar untuk meneruskan pengajian dalam memanfaatkan teknologi semasa.

Selaras dengan perutusan khas YAB Perdana Menteri pada 16 Mac 2020 berkenaan  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dan penutupan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam, maka UMP menangguhkan semua operasi perkhidmatan bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.

Universiti telah menjadualkan semula cuti pertengahan Semester 2 Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 4 hingga 12 April 2020 dipinda kepada 18 hingga 31 Mac 2020. Justeru, tiada aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk dalam talian bagi tempoh tersebut. Sesi pengajaran dan pembelajaran ini akan bermula semula pada 1 April 2020 bergantung kepda sebarang perubahan tertakluk kepada arahan yang akan dimaklumkan kelak.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri