Skip to main content

Hargai petugas PKU, barisan hadapan kita

Kuantan, 9 April – Mendepani penularan wabak Covid-19 yang telah diisytiharkan sebagai  pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sentiasa bersiap siaga  ‘memerangi’ penularan wabak tersebut di kampus universiti.

Malahan tatkala sesi pendaftaran pelajar baharu di universiti ini pada 7 Februari lalu, PKU telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Ketika itu, pihak universiti telah meminta pelajar yang kembali daripada cuti semester atau baru pulang dari China untuk menjalani saringan kesihatan setempat sebelum meneruskan aktiviti dalam kampus memandangkan wabak yang berpunca dari Wuhan, China pada penghujung tahun lalu telah menyebabkan ramai penduduk disahkan dijangkiti dan kadar kematian meningkat akibat virus itu sejak Januari lalu.

Menurut Pengarah PKU, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit, sejak itulah pihak universiti menggerakkan Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP bagi menyelaras semua tindakan menangani penularan wabak ini. Pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengemaskini maklumat dan garis panduan terkini bagi mengawal penularan kes Covid-19 di UMP.

“Kita akan memastikan mana-mana pelajar atau staf yang mempunyai gejala-gejala Covid-19 atau baru pulang dari luar negara akan diminta untuk melaksanakan home-surveillance dalam tempoh 14 hari serta memaklumkan kepada PKD sekiranya memerlukan tindakan lanjut,” ujarnya. 

Dr. Khairul menghargai sokongan berterusan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Bahagian Keselamatan dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta dalam menjayakan program terutamanya urusan melibatkan kebajikan pelajar.  

Pihaknya juga mendapat kerjasama baik daripada Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP dan berganding erat dengan PKD termasuklah membantu dalam pengesanan kontak sekiranya membabitkan pelajar ataupun staf universiti.   

Selaras dengan perintah kawalan pergerakan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan, PKU telah melaksanakan sistem penggiliran staf bagi kedua-dua kampus dalam meminimumkan pergerakan sepanjang tempoh kawalan dilaksanakan.

Pihaknya menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan dan beroperasi seperti biasa bagi rawatan pesakit luar pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang memandangkan terdapat segelintir pelajar menjalani PKP di kampus,. Manakala bagi kes-kes kecemasan di luar waktu pejabat, pelajar atau staf boleh menghubungi staf yang bertugas di PKU.

Pihaknya turut mengambil inisiatif menyediakan alat pelindung muka (face shield) dengan menggunakan barang-barang yang mudah didapati memandangkan peralatan yang siap ini sudah sukar untuk didapati di pasaran. Mereka juga dibekalkan dengan alat perlindungan peribadi (Personal Protective Equipment) seperti gaun, topeng muka (3 ply mask) dan sarung tangan untuk menjalankan tugasan mereka sebagai frontliners di universiti ini.

Warga UMP juga adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan kerajaan dari semasa ke semasa dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Bagi yang bergejala pula, diminta untuk tidak mementingkan diri dan sentiasa menggunakan topeng muka apabila berada di tempat awam.

Pihak keselamatan turut dibekalkan dengan alat pengimbas suhu badan untuk memeriksa tahap kesihatan warga kampus dan pelawat di pintu masuk UMP. Begitu juga dengan para pelajar di kampus. Pemeriksaan suhu badan akan diambil pada setiap hari di Kolej Kediaman dalam memastikan mereka sentiasa sihat dan sebagai langkah pencegahan.   

Beliau menasihatkan warga kampus agar kekal di rumah (Stay at home) ataupun di kampus (Stay in campus) dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi sebarang kemusykilan boleh menghubungi petugas PKU di talian 09-424 5777 (Kampus Pekan) dan 09-549 3111 (Kampus Gambang).

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri