Skip to main content

Hari keluarga UMP Satukan Warga Rapatkan Hubungan

Kuantan, 27 April- Penganjuran Hari Keluarga UMP 1 Family bertemakan kebahagiaan, kasih sayang dan saling hormati- menghomati disambut dengan meriah dengan lebih 1000 orang termasuk staf bersama keluarga masing-masing dalam acara yang berlangsung di padang Kompleks Sukan UMP Gambang. 

Acara bemula dengan pendaftaran peserta mengikut kumpulan rumah merah, kuning, biru, hijau dan putih dan diikuti dengan program senamrobik beramai-ramai.

Buat pertama kalinya juga, program diterajui Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) dan Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD), Kesatuan Kakitangan Sokongan (KESUMP) dan Persatuan Wanita UMP (Matahari).

Terdapat lebih 20 acara sukaneka yang dipertandingkan antaranya talik tali, lari dalam guni, bulu ayam, sambut sayang, lari kaki tiga , bawa bola ping pong dalam sudu, baling bola ragbi dan kerusi berirama menyaksikan kumpulan merah dinobatkan juara keseluruhan.  

Hadir memeriahkan sambutan, Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim bersama isteri, Datin Sri Fazia Ali. Turut hadir sama Pro Pendaftar, Abd. Rahman hj Safie.

Menurut Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir, program ini berjaya mengumpulkan warga kerja UMP yang hadir bersama keluarga Selain beriadah, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan baik, mengenali antara satu sama lain dan salah satu cara untuk menjaga kebajikan warga universiti.

“Pertemuan ini juga menyokong tema memupuk nilai kasih sayang dan mampu mewujudkan keakraban, kemesraan dan semangat berpasukan serta melahirkan rasa sayang kepada universiti. Program seperti ini juga memberi peluang staf saling mengenali dan merapatkan ukhwah dan kebersamaan,” katanya.

Manakala Pengerusi Hari Keluarga UMP 2019, Mohd. Raizalhilmy Mohd Rais berkata, pihaknya menghargai sokongan warga yang hadir menjayakan program dan acara berjalan lancar serta mengharapkan lebih banyak program seperti ini dapat dijalankan.  Pihaknya juga sangat berbangga dengan komitmen jawatankuasa dan sukarelawan dalam merancang pelbagai aktiviti menarik  buat staf yang hadir bersama keluarga.

Turut berlangsung pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan pakaian beragam bertemakan alam sekitar dan “Go Green” serta pertandingan penyediaan menu sihat. Terdapat juga gerai makanan yang menyediakan air balang, apam balik Crispy, aiskrim, cendol dan keropok lekor yang disediakan percuma untuk tetamu yang hadir.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri