Skip to main content

Hari Terbuka PPA Platform Terbaik Bimbing Pelajar UMP dalam Pengajian

Kuantan, 4 Oktober– Hari Terbuka Pusat Pengurusan Akademik  Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung di UMP Kampus Gambang dan UMP Kampus Pekan merupakan platform terbaik buat pelajar untuk mengetahui dan mendapatkan nasihat serta perkhidmatan yang disediakan untuk memudahkan urusan pengajian sepanjang berada di universiti.

Pengarah Pusat Pengurusan Akademik (PPA),  Prof. Madya Mohd Shahrir Mohd Sani berkata, inisiatif ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan pengurusan akademik yang berkualiti kepada semua pemegang taruh universiti selaras dengan perancangan dan matlamat UMP. Penganjuran program ini signifikan dengan mengambilkira pembaharuan dan perkembangan terkini dalam sistem akademik yang baharu seterusnya menjadi pusat rujukan setempat dalam pengurusan akademik pra siswazah.

“Bertemakan Togetherness #WeCare turut menghimpunkan keterlibatan pihak yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan sokongan akademik. Pelajar berpeluang mendengar Taklimat Akademik, Klinik Pengiraan GPA/CGPA, Taklimat Direct Entry dan mengasah bakat sebagai Pembaca Berita dan Pengacara UMP TV, iaitu sebagai medium dalam menyampaikan hebahan dan perkembangan dalam kampus,” katanya.

Beliau hadir melancarkan  Projek Pre Amour (Pre Loved) yang merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memfokuskan kepada pelajar UMP yang memerlukan.

Ujarnya, Projek Pre Amour diinspirasikan daripada Projek “Gerobok Rezeki” merupakan tempat  yang disediakan kepada pelajar untuk  peluang membawa pulang pelbagai barangan pre-loved (terpakai) seperti baju,seluar tudung, beg, kasut dan sebagainya yang masih dalam keadaan baik secara percuma. Projek ini juga merupakan kesinambungan program “MYGIFT UMP” yang giat dijalankan sepanjang tahun dalam usaha membantu warga UMP khususnya pelajar dan komuniti setempat.

Bagi pelajar Fakulti Pengurusan Industri, Siti Nabirah Amran, 22, program ini banyak memberi manfaat kepada pelajar terutamanya untuk mengetahui kemudahan dan peranan jabatan yang terdapat di UMP. Misalnya Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) yang pada awalnya beliau sendiri tidak mengetahui fungsi CIReL dalam menawarkan pengajian secara dalam talian melalui inisiatif Kuliah Pembelajaran Global (Global Classroom).   

Turut  diadakan perkhidmatan kaunter melibatkan beberapa PTJ seperti Pusat Pemasaran & Kemasukan Akademik, Pejabat Naib Canselor (PNC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Bahagian Kaunseling, Jabatan Bendahari, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Pusat Antarabangsa, Pusat Teknologi Maklumat dan lain-lain lagi.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri