Skip to main content

Hasrat pelajar UMP balik kampung tertunai

Kuantan, 30 April- Gerakan pertama pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti telah memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman sekitar destinasi Zon Pantai Timur malam tadi membabitkan seramai 140 orang pelajar dari negeri  Pahang (32), Kelantan (73) dan Terengganu (35).

Perjalanan yang ditunggu-tunggu ini menamatkan tempoh selama lebih 40 hari pelajar menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) di kampus sejak 18 Mac lalu. 

Bagi Muhammad Hazamuddin Bin Wan Hassan, 25 dari Kolej Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Awam, UMP perasannya terharu akhirnya dapat pulang ke kampung halaman di Tumpat. 

“Perasaan berdebar tunggu kelulusan untuk balik  dan semestinya sangat gembira dan lega apabila dimaklumkan dibenarkan pulang. Keluarga saya telah hubungi beberapa hari lepas, dan mereka turut menanti kepulangan hari ini,” katanya.  

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti, kementerian dan pihak berkuasa yang bertungkus lumus menyumbang tenaga dan masa untuk membawa pulang pelajar ke kampung halaman masing. 

Begitu juga dengan Nurliyana Mohamad Azmi, 27 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMP.  Beliau terharu dengan cara pelajar dibawa pulang malahan disediakan bekalan makanan dan minuman.

“Keluarga pun selalu telefon tanyakan bila boleh balik. Kerap jugak mereka kongsikan berita tentang COVID-19 di televisyen dan sentiasa mengharap boleh balik ke kampung. Alhamdulillah hari ini doa kami tertunai. Tengok kawan-kawan di utara dah sampai kampung rasa seronok,” katanya yang akan balik ke Raub.

Di UMP seramai 140 pelajar , 26 pegawai Perhubungan  ( LO) dan lebih 40 pemandu telah disaring sebelum pergerakan dibenarkan malam tadi.  Seramai 1120 pelajar masih tinggal di kampus bagi pergerakan fasa berperingkat sehingga 10 Mei depan. 

Sebanyak 26 bas bergerak membawa pelajar dari UMP Kampus Gambang dan Kampus Pekan serentak ke destinasi masing-masing. 

Selain itu, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selsema dan sesak nafas) juga dijalankan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar. 

Pelajar juga sentiasa diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial (social distancing), memakai topeng muka (face mask) di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai pensanitasi tangan (hand sanitizer).

Turut hadir Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff , Ketua Polis Pahang,  Datuk Abd Jalil Hassan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Ts. Dr Yuserrie Zainuddin menyaksikan  proses pergerakan pelajar di UMP Gambang. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri