Skip to main content

Impian Faiz masuk UMP jadi kenyataan

Pekan, 7 Oktober 2020 – Siapa sangka impiannya lapan tahun lalu menjadi kenyataan. Itulah yang ingin dikongsikan oleh Muhammad Nur Amirul Faiz Mohd Norafizd yang terharu dan bersyukur apabila menerima surat tawaran kemasukan ke program ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru–baru ini.
Lebih mengejutkan, beliau turut bertuah apabila terpilih menerima Bantuan Insentif Kecemerlangan Matrikulasi Yayasan UMP sempena kemasukan pelajar baharu UMP sesi Akademik 2020-2021.

Menurut Muhammad Nur Amirul Faiz, beliau sendiri tidak menyangka menerima kunjungan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin yang hadir menyerahkan surat tawaran dan sumbangan di kediamannya di Taman Tanjung Selangor, Pekan.

Sepanjang 30 minit kehadiran Dato’ Ts. Dr. Yusserrie yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMP, beliau banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat buatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.  

“Saya amat terharu dengan usaha Yayasan UMP, walaupun saya dan rakan-rakan yang merupakan pelajar baharu masih belum menghadirkan diri ke kampus akibat arahan penangguhan masuk ke kampus oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), namun pihak Yayasan UMP tetap mengambil berat terhadap pelajarnya.

“Saya juga juga ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini yang dapat meringankan beban kewangan kedua ibu bapa dan akan digunakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Anak kepada pasangan Mohd Norafizd Awang dan Amimah Abdul Wahab ini turut menceritakan selepas keputusan SPM dahulu, beliau pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di UMP namun nasib tidak menyebelahinya. 

Justeru, beliau nekad menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang. 

Beliau memilih UMP sebagai pilihan pertama semasa mengisi borang UPU dan tidak menyangka permohonannya kali ini berjaya untuk mengikuti program pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.

Ujarnya beliau mula menanamkan minat untuk menyambung pengajian di UMP sejak berusia 12 tahun lagi. 

“Masih segar lagi ingatan, saya menyertai program bersama pelajar UMP termasuk mengikuti Program Empower ECER di sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Serandu.

“Walaupun ada usikan dari rakan yang bertanya  mengapa tidak memilih universiti di luar Pahang, namun saya tetap kekal dengan keputusan saya untuk memilih dan menyambung pengajian di UMP yang terkenal dengan program Kejuruteraan dan Teknologi. 

“Saya tidak sabar untuk mengikuti pengajian dan akan mematuhi arahan bagi mengikuti program Minggu Induksi Siswa pada 14 hingg 18 Oktober ini yang dijalankan secara dalam talian lanjutan daripada penularan Covid-19 yang melanda negara,” katanya. 

Selain beliau, seramai 45 pelajar baharu Sesi Akademik 2020/2021 turut menerima bantuan Insentif Kecemerlangan Matrikulasi-UMP Yayasan UMP pada kali ini. 

Bantuan ini merupakan insentif yang diberikan kepada pelajar matrikulasi yang meraih keputusan CGPA 3.5 ke atas dan berjaya menyambung pengajian ke UMP serta menepati kriteria yang ditetapkan universiti.
 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris