Skip to main content

Institut Confucius bakal ditubuhkan di UMP

Chengdu, 5 Disember- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan Confucius Institute Headquaters (Hanban) dalam penubuhan Institut Confucius atau Kong Zi Institute yang bakal memanfaatkan mahasiswa dan masyarakat setempat terutamanya di negeri Pahang.

Dalam program ini Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim hadir bertukar dokumen perjanjian dengan Timbalan Pengarah Hanban, Zhao Guocheng ang berlangsung di Chengdu China baru-baru ini bersempena penganjuran Persidangan Kali ke-13 Institut Confucius.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan Hanban, Profesor Wang Yong, Setiausaha Jawatankuasa Hebei University, Profesor Gui Jian, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa Hebei University, Profesor Li Xiaoliu  dan Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan (MLCC) UMP, Yong Ying Mei.

“Kewujudan institut ini akan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin dan juga pertukaran kebudayaan melibatkan dua negara. Malah, hasil hubungan baik UMP dengan pihak Hebei University sejak tahun 2011 terdapat seramai 22 guru Bahasa Mandarin telah ditempatkan di sini,” katanya. 

Hebei University merupakan universiti di China yang dilantik oleh pihak Hanban bagi usaha kerjasama terhadap penubuhan Institut Confucius. Setakat ini dua institusi pendidikan tinggi di Malaysia yang telah sedia ada ialah Universiti Malaya (UM) dan Segi University.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri