Skip to main content

Karnival Pemantapan Bahasa Melayu Manfaat Mahasiswa Antarabangsa

Bera, 23 April - Karnival Pemantapan Bahasa Melayu dan Khidmat Komuniti bersama seramai 444 pelajar SMK Seri Bera memanfaatkan program silang budaya dan komunikasi antara bahasa dan budaya Melayu dengan budaya antarabangsa. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Pusat Bahasa Modemn dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) ini melibatkan seramai 35 mahasiswa antarabangsa dari negara Yemen, Egypt, Iraq, Syria, Libya dan Sudan.

Menurut Pengarah Program, Juwairiah Osman dari Jabatan Bahasa Asing, PBMSK, program ini melibatkan mahasiswa antarabangsa dari UMP Gambang bagi semester ini yang mengambil kursus UHF1161:Malay For Beginners dan UHF2161: Malay For Intermediate. 

“Acara lain yang dilaksanakan dalam program ini ialah slot teknik menjawab soalan kertas bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), slot motivasi, ceramah hala tuju selepas SPM, pameran reruai "Jom Masuk UMP", pameran inovasi bahasa Melayu antarabangsa, pameran budaya Yemen, Egpyt, Syria, Sudan, Somalia dan China,” katanya.

Bagi Juwairiah, program ini amat memberi kesan dan impak pada minat dan penguasaan bahasa Melayu serta mengeratkan jalinan kerjasama UMP bersama komuniti khususnya di sekolah. Selain itu, jawatankuasa karnival yang terlibat juga merupakan para guru bahasa dari Jabatan Bahasa Asing manakala para fasilitator terdiri daripada mahasiswa yang mengambil subjek "Soft Skills 1" dan Kelab Orator UMP.

Sementara itu,  mahasiswa UMP , Ahmed Adel Shahnan dari Yemen yang menuntut di  Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian  berkata, beliau gembira dan berasa seronok kerana berpeluang mengenali sistem persekolahan di Malaysia. Malah, teruja dapat berinteraksi dengan adik-adik di sekolah ini.  

Manakala Ammar Abdullah Manea Alkhawlani yang juga dari Yemen yang mengikuti pengajian di Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam berkata, beliau kini boleh berkomunikasi dalam  bahasa Melayu. Biasanya beliau berkomunikasi dengan kawan-kawan bangsa Melayu, Cina dan India di kampus. Kini bertiah apabila mendapat peluang keemasan untuk bertemu dengan pelajar sekolah dan guru pastinya pengalaman ini menyeronokkan.

Mahasiswa juga berpeluang menimba pengalaman mempelajari bahasa Melayu di UMP, berkongsi pengalaman baharu, bercerita tentang keistimewaan negara Malaysia, negeri Pahang, universiti dan keseronokan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

Dalam meningkatkan pemahaman mahasiswa antarabangsa pelbagai program dijalankan pihak UMP termasuklah Program "Seronoknya Berbicara Bahasa Melayu" melalui drama, puisi dan ucapan. Program Drama Muzikal Bahasa Melayu oleh mahasiswa antarabangsa dan program pengucapan awam dalam bentuk pidato. Mahasiswa juga berpeluang mengambil bahagian dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri setiap tahun sejak 2006.

Disediakan oleh Juwairiah Osman dari Jabatan Bahasa Asing, PBMSK dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri