Skip to main content
Karnival STEM Mahasiswa UMP bersama Pelajar Sekolah

Karnival STEM Mahasiswa UMP bersama Pelajar Sekolah

Kemaman, 19 September- Hampir 300 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh Kemaman menyertai  program Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) bersama 10 orang mahasiswa Kelab Scitexs dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) Universiti Malaysia Pahang bersempena Hari Kokurikulum APSES peringkat sekolah dengan kerjasama Unit Kokurikulum, TV Pusat Sumber Sekolah dan Jabatan Bahasa.

Menurut guru sekolah merangkap penyelaras program, Tarmizi Salleh berkata program STEM ini buat julung kalinya diadakan di SMK Ayer Puteh. Objektif utama adalah untuk menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran STEM dan membangunkan potensi serta menerapkan nilai daya saing para pelajar dalam mata pelajaran berkaitan STEM.

“STEM adalah program pelaburan untuk masa hadapan pelajar dan kita tidak boleh melihat hasil yang dilakukan hari ini, sebaliknya impaknya akan terlihat pada generasi akan datang,” katanya.

Manakala menurut mahasiswa UMP, Faizulnazrie Masri  program seperti ini memberi peluang kepada pelajar menyumbang idea dan inovasi serta menunjukkan kemampuan mempelajari serta mencipta sesuatu yang baharu.

Program STEM turut dipenuhi dengan aktiviti yang berkonsepkan “Street Science” dan antara aktiviti yang dijalankan ialah Volcano Eruption, Math Race and MathZzle, Sublimation Process, EDTA Model Challenge, Bridge Challenge, Fire Bubble, Water Rocket, Fire Rocket dan pameran sains.  

Program dirasmikan oleh Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Tuan Nazam Tuan Sidek. Pelajar juga berpeluang menyaksikan pameran daripada agensi luar, ceramah, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain.

Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri