Skip to main content

Kejayaan yang tertangguh Amir Ashraf Alumni UMP bangkit bergelar Usahawan

Pekan, 18 Oktober- Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, begitulah perumpamaan yang sesuai dikaitkan dengan Pengarah Urusan Profix Engineering Sdn Bhd, Amir Ashraf Hamzah, 35 yang bangkit meneruskan perjuangan dalam perniagaan sehingga mampu menempatkan diri sebaris dengan usahawan yang berjaya.

Bermula dengan pengalaman yang sukar, anak muda berasal dari Kampung Tok Hakim Padang Midin, Terengganu ini terus gigih walaupun pernah diduga suatu ketika dahulu berdepan situasi tiada langsung wang di tangan untuk membeli susu buat anaknya yang masih kecil.  

Pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada tahun 2007 ini sememangnya menyimpan cita-cita untuk membuka syarikat  peniagaan sendiri  sejak kecil lagi. Kini, impiannya terlaksana berkat usaha dan doa kedua ibu bapa, keluarga dan sokongan insan sekeliling. Anak pasangan Tuan Haji Hamzah Othman dan Hajjah Hasmah Mohamad ini memilih perniagaan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan  suka mencuba benda baharu dan mencabar.

Ujarnya  sememangnya pada mulanya beliau mendapat tentangan yang hebat dari orang sekeliling apabila memilih bidang peniagaan sebagai kerjaya. Kebanyakannya menganggap perniagaan ini berisiko tinggi, namun beliau menganggap ianya merupakan satu cabaran untuk ditempuhi.

“Secara jujurnya pada mulanya minat saya bukan kepada kejuruteraan. Tetapi keadaan itu berubah apabila saya jatuh cinta pada bidang tersebut semasa bekerja sebagai jurutera di beberapa buah syarikat di ibu kota. Pengalaman berkerja selama lima tahun inilah menjadikan saya memberanikan diri untuk membuka syarikat  kontraktor pada tahun 2011 dengan nama syarikat Profix Engineering Sdn Bhd. Pada masa itu, kereta Myvi itulah  pejabat pertama saya,” ujar Amir Ashraf.

Namun menurutnya, buka syarikat ini tidaklah seindah drama yang kita saksikan di kaca televisyen. Pada masa itu beliau masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan. Namun langit tidak selalu cerah, perniagaannya mengalami masalah dan diduga dengan bebanan hutang serta kehilangan rakan kongsi.  

Ketika itu beliau merasakan dunia ini gelap dan nasihat dan dorongan kedua ibubapanya menjadi pedoman. Masih segar dalam ingatannya pesanan ibu pada masa itu untuk jangan putus asa dan teruskan perjuangan kerana tiada orang yang gagal dalam perniagaan tapi ia hanya kejayaan yang tertangguh sahaja. Ianya menguatkan semangat beliau untuk bangkit semula.

Beliau turut menasihati agar jangan takut untuk memulakan sesuatu, kerana jika takut menguasai diri pastinya kita tidak akan berani untuk melangkah. Pada masa yang sama kita juga perlu bersama dengan orang-orang yang positif kerana aura positif akan tempias dan terdorong untuk berjaya.

Amir Ashraf mengakui perniagaan ini mempunyai banyak cabaran sebab kita akan mudah terdedah dengan ujian dan cabaran. Namun jika kita lihat masalah ini sebagai masalah, kita tidak akan kemana-mana dan ia tetap menjadi masalah, Namun kita perlu tukar masalah kepada cabaran dan menganggap ianya sebagai satu peluang yang kita perlu kecapinya.

Pengalaman berharga ini banyak dikongsikan dalam ceramah motivasi yang disampaikannya. Berbekalkan pengalaman seorang jurutera sahaja tidak mencukupi untuk membangunkan sebuah syarikat syarikat. Beliau turut berkongsi tip kejayaan, untuk membuka syarikat kejuruteraan dan pembinaan kita bukan sekadar mempunyai semangat dan pengetahuan, tapi kita juga perlu mempunyai pengalaman mengurus syarikat. Dengan gabungan tiga kombinasi ini dapat membuka syarikat yang bagus.  

Beliau turut berkongsi pada zaman persekolahannya, selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beliau dapat menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Johor dan kemudiaannya menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik UMP. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Syarifah Mahfudzah Syed Mafdzot, 34 mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ainul Syuhada, 6, Ainul Raudhah, 4, dan Amir Ar- Rayyan, 3.

Kini Profix Engineering Sdn Bhd  mempunyai seramai 12 staf  yang terdiri daripada jurutera, penyelia projek dan staf pentadbiran bertempat di Seri Kembangan, Selangor. Selain memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Profix Engineering Sdn Bhd, beliau kini merupakan Pengerusi Industry Network Alumni Platform (INAP) UMP, Penasihat Industri untuk Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun, Terengganu dan Panel Gas Kontraktor & Consultant untuk Istana Negara, One Menerung Condominium Bangsar dan Sri Penaga Condominium Bangsar.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri