Skip to main content

Klinik bergerak bantu warga kerja UMP cakna kesihatan

Pekan, 13 Julai 2020 – Cakna terhadap kesihatan warga kerja, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) menganjurkan Program Klinik Bergerak (Mobile Clinic) yang mengalakkan staf universiti membuat pemeriksaan terhadap status kesihatan mereka. 

Hampir 170 staf hadir menjalani pemeriksaan kesihatan seawal 8.30 pagi yang diadakan serentak di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan dan Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

Menurut Pengarah PKU UMP, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit, program ini dijangka boleh menurunkan prevalence penyakit tidak berjangkit dan faktor risikonya dalam kalangan staf UMP yang akan menyumbang kepada kesejahteraan produktiviti kerja dan organisasi.

“Peratusan staf sihat adalah individu yang berada dalam kumpulan risiko rendah dan peratusan staf tidak sihat adalah merujuk kepada individu yang berada dalam kumpulan risiko sederhana dan tinggi. 

“Selain itu, kaedah pengukuran risiko penyakit tidak berjangkit ini berdasarkan pengumpulan data asas bagi tahun 2020 yang diambil melalui inisiatif klinik bergerak (mobile clinic).

“Pihak kami menyasarkan penurunan prevalence penyakit tidak berjangkit (Non- Communicable Disease) dan faktor risikonya pada tahun 2021 adalah sebanyak 3 peratus,” ujar beliau. 

Menurut Pegawai Perubatan PKU, Dr. Erwina Nursyaheera Sulaiman, program ini diadakan dengan harapan dapat memudahkan staf dalam membuat pemeriksaan kesihatan di stesen tempat kerja tanpa perlu hadir ke PKU. 

“Pemeriksaan yang dijalankan merangkumi Peratus Staf Sihat berdasarkan Indeks Jisim Badan (BMI), Tekanan Darah , Fasting Lipid Profile dan Fasting Blood Sugar.  

“Kebanyakan staf yang hadir mempunyai tahap kesihatan yang agak memuaskan dan tidak berisiko berpenyakit. 

“Namun, majoritinya mempunyai masalah terdapat Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang tidak normal dan keadaan ini agak sangat membimbangkan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Justeru, ujar beliau, pencegahan awal perlu dilaksanakan bagi mengelakkan risiko penyakit berbahaya seperti darah tinggi atau serangan jantung yang menjadi penyebab tertinggi kematian di Malaysia.

Tambahnya lagi, PKU berhasrat dapat menurunkan prevalence penyakit tidak berjangkit dan faktor risikonya dalam kalangan staf UMP selaras dengan Pelan Strategik UMP Teras 5D – Kesejahteraan Sumber Manusia.

“Harapan saya agar staf yang hadir memandang serius terhadap nasihat yang telah diberikan dan sekiranya berada dalam keadaan tidak sihat terus mendapatkan rawatan segera di PKU atau klinik kesihatan yang berdekatan,” ujar beliau. 

Pembantu Tadbir di Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Rozianawati Haji Mohd Isa berkata, pemeriksaan kesihatan ini wajar dilaksanakan memandangkan faktor umur bukanlah penyebab kepada sesuatu penyakit. 

“Selain itu, pemeriksaan ini dilihat dapat memastikan staf berada dalam keadaan sihat dan mengetahui kondisi badan mereka. 

“Kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat perlu diberi penekanan penting dan hebahan mengenai penyakit-penyakit berisiko perlu dilakukan sebagai panduan kepada semua staf,” katanya. 

Disediakan Oleh : Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim