Skip to main content

Kolaborasi Industri- UMP antara Terbaik Dunia dalam Kebolehpasaran Graduan

Pekan, 20 September- Usaha berterusan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam berkolaborasi dengan industri bermula daripada perancangan akademik sehingga libat sama industri bersama komuniti memperlihatkan keberhasilan apabila universiti ini tersenarai tempat ke-71 terbaik dunia dan pertama di Malaysia bagi kriteria Kerjasama dengan Majikan (Partnership with Employer) dalam penarafan QS Graduate Employability 2020 (QS GE) yang diumumkan semalam (19 September 2019). 

Penarafan ini turut menobatkan UMP berada pada kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020. Turut berada pada kelompok yang sama adalah Management and Science University (MSU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Manakala Universiti Malaya (UM) diumum sebagai universiti terbaik di Malaysia dari segi kebolehpasaran graduan selepas tersenarai dalam kedudukan ranking 141-150 daripada 500 universiti terbaik dunia.

Menurut Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, UMP akan terus memberikan yang terbaik di samping meningkatkan kualiti graduan dan kebolehpasaran graduan bagi melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Ianya juga akan meningkatkan keupayaan bagi memperkasa bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi seiring dengan keperluan industri di negara ini. 

“Sebagai salah sebuah universiti yang agak muda pada usia 17 tahun ini, Universiti sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. Program kejuruteraan dan teknologi sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman,” katanya. 

Model kerjasama akademik bagi program dwiijazah Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Automotif dengan HsKA serta program dwiijazah Kejuruteraan Perniagaan dengan Hoshschule Reutlingen University (HsRT) di Jerman termasuk pengantarabangsaan UMP dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Republik Persekutuan Jerman memberikan graduan berpeluang ditawarkan pekerjaan daripada syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Jerman.

Kolaborasi professional bersama alumni dalam Industry Network Alumni Platform (INAP) juga sebagai suatu platform buat alumni UMP membina hubungan (networking), berinteraksi dan memberi sumbangsaran atas kapasiti profesional mereka. 

Penganjuran karnival kerjaya dan CEO@Faculty Programme memperhebatkan penyertaan daripada sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh industri tersebut. Antara program yang dijalankan bersama CEO yang dipilih adalah siri kuliah jemputan, perbincangan panel dan juga pengajaran bersama (co-teaching).

UMP juga menilai kebolehan graduan bukan sahaja daripada segi peningkatan akademik malah turut menilai kebolehan pelajar dalam bidang keusahawanan, kemampuan pengurusan, kemahiran sosial dan berkomunikasi bagi memenuhi kehendak industri moden masa kini yang memerlukan graduan bukan hanya bijak akademik, tetapi berketerampilan dalam kemahiran insaniah dan kemahiran interpersonal. 

Pusat Kecemerlangan Industri (I-COE) juga dilihat sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan yang mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterapkan dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan merangkumi empat program teras iaitu program internship berstruktur (SIP), penempatan industri, pembangunan bakat dan Training of Trainers. 

Penilaian QS GE ini dibuat dengan mengambil kira lima petunjuk utama iaitu Reputasi Majikan (30 peratus), Hasil Alumni (25 peratus), Kerjasama dengan Majikan (25 peratus), Hubungan Majikan – Pelajar (10 peratus) dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (10 peratus). Pengukuran bagi kriteria ini adalah berdasarkan kepada pengkalan data Scopus Elsevier terhadap kerjasama penyelidikan dari tahun 2013–2017 dan kerjasama membabitkan 2000 syarikat global terkemuka yang disenaraikan oleh Fortune dan Forbes.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri