Skip to main content

Kolokium Akademik MTUN Bincang Agenda TVET Bernilai Tinggi

Kuantan, 14 Ogos – Dalam memperkasakan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini seiring dengan agenda Higher TVET yang sedang digerakkan dalam negara, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Kolokium Akademik Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) membabitkan seramai 60 penyertaan daripada UMP, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMP Gambang. 

Pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap kepentingan dan relevansi MTUN  ini membolehkan pihak MTUN merangka pelbagai agenda Higher TVET dan ini termasuklah kejayaan pelancaran program Sarjana Muda Teknologi (B. Tech.) MTUN pada 25 Jun 2019 lalu yang dapat memberi akses dan laluan kepada graduan sebagai penggerak ekonomi negara.

Menurut Naib Canselor UMP, Prof. Ir Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, MTUN bertanggungjawab untuk memastikan mandat daripada Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia tersebut diterjemahkan sebaik mungkin melalui strategi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, pemegang taruh dan kumpulan sasaran yang terlibat.

“Ke arah pemantapan Higher TVET ini, saya melihat lebih banyak libat sama (engagement) perlu dipergiat bagi tujuan pengiktirafan program, pengambilan pelajar dan pemahaman awam. Ianya adalah penting bagi membantu kerajaan untuk meletakkan TVET dalam perspektif dan konteksnya yang betul sebagai pemacu kemajuan negara,” katanya yang hadir merasmikan program dan turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Foresight of Engineering Technologist.”

Tambah beliau, sinergi keempat–empat universiti MTUN dalam konteks Higher TVET ini amatlah penting di saat kerajaan sedang memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-12. Malahan peranan MTUN dalam konteks Higher TVET tersebut cukup relevan untuk membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi dan negara dengan lebih pesat melalui migrasi daripada ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi masa depan yang mengadaptasi teknologi, automasi dan ekonomi intelek (K-Economy) sejajar dengan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan lestari menjelang 2030.  

Dalam program ini, Prof. Madya Ir. Adnan Zulkiple turut menyampaikan pembentangan bertajuk “Pathway of Engineering Technologist and Engineering Technician” yang banyak menerangkan perbezaan hala tuju teknologis dan juruteknik kejuruteraan dan penerimaan kedua-duanya di dalam Lembaga Jurutera Malaysia.

Ujarnya, melalui Program Sarjana Muda MTUN ini juga universiti bakal melahirkan graduan yang berkebolehan dalam aspek teori dan praktikal, bukan hanya tertumpu kepada ilmu semata-mata tetapi juga kompeten dalam kemahiran.

Kolokium yang berlangsung selama sehari ini turut mengandungi aktiviti perbincangan dalam kumpulan yang tertumpu kepada hala tuju graduan TVET, program mobiliti dan kerjasama antara MTUN, jaringan industri dan MTUN, promosi kemasukan pelajar bagi program teknologi kejuruteraan dan kemahiran bagi pensyarah dan jurutera pengajar dalam teknologi kejuruteraan dan TVET.

Turut hadir Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP, Profesor Abdullah Ibrahim, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM, Prof. Madya Ts. Haji Amran Mohd Zaid. dan pengarah program, Dr. Azrina Abd Aziz daripada Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP. 

Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri