Skip to main content

KUB, UMP Anjur Program Literasi Digital Untuk Pelajar Sekolah

Kuala Lumpur, 7 Mac- KUB  Malaysia Berhad dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengorak langkah  memperkasakan lagi program tanggung jawab sosial korporat (CSR) dalam menganjurkan Program Digital Literasi membabitkan seramai 25 murid pra Sekolah Kebangsaan (SK) PPR Lembah Subang, Petaling Jaya. 

Program dirasmikan oleh Presiden Pengarah Urusan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin yang turut dihadiri Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) UMP, Prof.  Dr. Jamil Ismail,  Guru Besar SK Lembah Subang, Hajjah Shamsinar Hayati Mohd Shith, Pengarah Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM), Profesor Madya Ir. Dr Nurul Hazlina Noordin dan Pengurus JJIM, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais.

Dalam ucapan  perasmian, Datuk Abdul Rahim berkata, program yang julung kali dianjurkan ini merupakan kerjasama pihak KUB dan  UMP  bagi berkongsi maklumat dalam menyampaikan kesedaran mengenai dunia Teknologi kepada generasi muda hari ini.

Ujarnya, pihaknya percaya di peringkat sekolah merupakan tempat yang paling tepat bagi membentuk  generasi masa depan. 

Program ini memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar dan keluarga kumpulan B40 yang mana ianya seiring dengan matlamat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mahukan pihak swasta berganding bahu bersama pihak kerajaan bagi membantu golongan ini. Kita telah merancang untuk mengadakan beberapa siri lagi program sebegini di beberapa negeri lagi.

Program ini turut melibatkan seramai 20 orang fasilitator yang terdiri daripada staf KUB Malaysia Berhad dan UMP.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan semangat dan kegigihan warga kerja KUB dan UMP dan diharapkan akan menjadi pemangkin semangat agar dapat menyumbang sesuatu yang positif terhadap kehidupan kanak-kanak.

Manakala Profesor Dr. Jamil pula berkata, program literasi digital ini telah bermula dua tahun lalu. Sehingga kini sebanyak 6 buah sekolah sekitar Pekan dan Kuantan  yang melibatkan 350 murid pra sekolah dan sekolah rendah.  

Program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai peralatan digital seperti komputer, telefon pintar dantelevisyen sebagai pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak ini yang dilaksanakan oleh pensyarah UMP yang di kenali sebagai  The Reading Makcix. 

Dalam program ini akan membantu mereka menggunakan alat digital secara beretika, bertanggungjawab serta kefahaman tentang operasi dan keselamatan alat digital. 

Dalam pada itu, Hajjah Shamsinar pula amat terharu dan berterima kasih kepada pihak KUB Malaysia berhad dan UMP kerana memilih sekolahnya dalam menjayakan program dan diharap lebih banyak program dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri