Skip to main content
Kumpulan Zafreen Mahasiswa UMP Rangkul Juara Nasyid

Kumpulan Zafreen Mahasiswa UMP Rangkul Juara Nasyid

Bangi, 24 Februari - Kumpulan Zafreen dari Kelab Nasyid Baraqah Beggers Universiti Malaysia Pahang (UMP) merangkul juara dalam Pertandingan Festival Nasyid IPTA/S (FESNAIS 2019) bertemakan ‘Nilai Kemanusiaan’ yang berlangsung di DECTAR Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Kumpulan yang terdiri dalam kalangan mahasiswa Kolej Kediaman 5 UMP Pekan ini   membawa pulang hadiah wang tunai RM2000 berserta trofi kemenangan. Lebih membanggakan kumpulan ini turut merangkul Anugerah Khas FESNAIS Vokal Berkumpulan Terbaik.

Menurut ketua kumpulan Zafreen, Muhammad Amzoar Asrul dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), keistimewaan persembahan kali ini tertumpu kepada mesej lagu dan penyampaian emosi berbanding aspek persembahan fizikal.

“Kami memberi tumpuan kepada lontaran vokal sebagai aspek penting agar mesej yang dibawa sampai ke hati penonton dan juri. Konsep kali ini mengetengahkan tentang kesedaran kesan kemurungan atau depresi yang telah menjadi masalah serius dalam kalangan masyarakat hari ini yang turut memberi impak kepada setiap aspek kehidupan,” katanya.

Pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan UMP khususnya buat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengetua Kolej Kediaman 5, Muhamad Faisal Mohd Yasin atas  kepercayaan kepada buat pasukannya dalam menyertai pertandingan ini.

Festival ini turut disertai oleh kumpulan Das Wahdat Voice iaitu kumpulan pelapis dari Kelab Nasyid Baraqah Beggers UMP Gambang yang membawakan lagu yang menampilkan tema peperangan yang menjiwai penderitaan anak-anak di Gaza, Palestin dan Syria.

Bagi ahli kumpulan Das Wahdat Voice, Muhammad Nasufiy Kamarudin yang merupakan mahasiswa tahun satu Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), pemilihan kostum busana merah yang merupakan cerminan sebagai tanda kesedihan dan penderitaan umat Islam di sana.

Pertandingan menyaksikan naib johan disandang oleh Kumpulan Lasykar Khalifa daripada UKM dengan membawa pulang hadiah RM1,500 berserta trofi manakala tempat ketiga pula milik oleh kumpulan Muhandis, Universiti Teknologi Petronas (UTP) memenangi hadiah RM700.00 dan trofi.

Disediakan oleh Noraini Hamzah dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri