Skip to main content

Kunjungan MDEC bincang Projek Sekolah Inovasi Masa Hadapan

Kuantan, 29 Januari- Delegasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkunjung ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini bagi membincangkan berkenaan  inisiatif mewujudkan Sekolah Inovasi Masa Hadapan di universiti ini atau dikenali sebagai Future Innovators’ School @ UMP untuk memupuk bakat tempatan dalam teknologi dan inovasi.

Bagi Naib Presiden (Pembangunan Bakat Digital) MDEC, Dr. Sumitra Nair, inisiatif ini adalah selari dengan hasrat MyDigital Maker MDEC sebagai satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melengkapkan generasi muda dengan kemahiran pedagogi yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja. Selain itu, ianya juga sebagai pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya khususnya pada abad ke- 21.

Sementara Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff menegaskan berkenaan peranan UMP dalam memperkasa agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat nasional ini dilihat bertepatan dengan Pelan Perancangan Strategik UMP bagi tahun 2021-2025.

“UMP merupakan salah sebuah Universiti Awam yang terlibat dalam projek Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) iaitu sebuah pusat yang menyediakan guru dan memastikan mereka mempunyai pendekatan pengajaran yang betul dalam bidang Computational Thinking (CT) dan Sains Komputer,” katanya.

Turut sama dalam perbincangan ini adalah Dekan Kanan Kolej Komputeran dan Sains Gunaan, Profesor Dr. Ruzaini Abdullah Arshah, Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Prof Madya Ir Dr Nurul Hazlina Noordin dan Pengarah Pusat Usahasama Strategik Akademik, Prof Madya Ir. Dr Chin Sim Yee.

MDEC juga turut bekerjasama dengan agensi swasta dan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam Pelaksanaan Digital Maker Hub dan UMP merupakan salah satu daripada Digital Maker Hub. Kurikulum diintegrasi dan pelajar didedahkan dengan digital making untuk dijadikan sebagai innovators.

Disediakan oleh Mohd. Raizal Hilmy Mohd Rais daripada Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN)

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad