Skip to main content
Kursus Perkahwinan Bina Keluarga  Harmoni

Kursus Perkahwinan Bina Keluarga Harmoni

Kuantan, 22 Oktober– Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) menganjurkan Kursus Perkahwinan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebagai meneruskan usaha mendidik mahasiswa terhadap kepentingan membina institusi kekeluargaan yang harmoni.

Program yang dihadiri seramai 250 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini turut memberi pendedahan awal tentang alam perkahwinan kepada para peserta yang bakal berumah tangga selain memberi panduan kepada para peserta berkaitan cara menguruskan proses perkahwinan bermula dengan permohonan pernikahan hingga ke hari pernikahan selain memberi panduan bagi menghadapi konflik dalam rumahtangga dan cara mengatasinya dengan berkesan.

Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, program yang dibarisi sembilan orang penceramah pakar yang dilantik pihak JAIP ini merupakan mereka yang berpengalaman dalam bidang kesihatan, pengurusan rumah tangga, komunikasi dan perundangan.

“Selama dua hari ini peserta berpeluang meningkatkan kefahaman dalam membina gerbang perkahwinan, mengetahui hak dan tanggungjawab dalam memastikan gerbang rumah tangga yang dibina kekal serta bahagia,” katanya.

Program diadakan bersempena penganjuran Karnival Mahabbah UMP yang dapat memperkasakan budaya ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan pembangunan insan dalam kalangan warga kampus. Sebanyak 17 program disajikan sepanjang dua minggu karnival yang mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), UMP Holdings (UMPH), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Islam (PAID) Daerah Pekan.

Karnival pada kali ini juga mengambil pendekatan dengan mengupas mengenai isu-isu semasa yang sentiasa dekat di hati mahasiswa. Program yang berunsur kerohanian dan pembudayaan ilmu seperti ini diharapkan dapat terus subur di UMP sejajar dengan matlamat melahirkan warga universiti yang bertaqwa.

Disediakan oleh Mohamad Hasnur Abdul Hamid dari Pusat Islam dan Pembangunan Insan  dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad