Skip to main content

Lebih 100 koleksi buku milik Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ishak Ismail disimpan di Perpustakaan UMP

Pekan, 25 April- Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) terutamanya mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri (FIM) berpeluang mendapatkan buku, jurnal dan naskhah yang boleh dirujuk bagi tujuan pembelajaran apabila terdapat lebih 100 buah buku koleksi milik allahyarham Prof. Dato Dr Ishak Ismail kini disimpan sebagai bahan rujukan di Perpustakaan UMP Pekan dan Gambang.

Buku-buku ini diserahkan oleh isteri Allahyarham, iaitu Prof. Dato Dr Hasnah Haron yang juga Dekan Institut Pengajian Siswazah kepada Pemangku Ketua Pustakawan, Dzull Zabarrod Ahmad. Hadir dalam program Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Prof Madya Dr Mohd Riduan Darun dan Pro Pendaftar, Abd Rahman Hj Safie.

Allahyarham yang telah kembali ke  rahmatullah pada 4 April lalu memberikan sumbangan yang besar terhadap penubuhan Pusat Tadbir Urus & Integriti (FGIC) di FIM sejak tahun 2016 hasil kerjasama strategik bersama pihak Yayasan Pahang (YP). 

“Sumbangan buku-buku ini antaranya berkaitan bidang pengurusan, kewangan, amalan tadbir urus, Integriti, etika dan lain-lain sebagai bahan rujukan lain. Buku  itu juga adalah penulisan daripada kajian allahyarham di antaranya adalah 'Keberkesanan Sistem Parole Jabatan Penjara', "Corporate Integrity System" di sebuah agensi kerajaan, kajian perniagaan kecil di Jepun,  kajian "Anti-Bribery Management System", kajian prestasi yayasan korporat terpilih dan faktor yang mempengaruhi pembayaran balik penerima pinjaman pengajian YP,” ujar Prof. Dato Dr Hasnah.

Menurut beliau, terdapat juga jurnal yang mana artikel yang diterbitkan Allahyarham  mengenai " Internal Audit Capability Model" di New Zealand telah terpilih untuk dimuatkan di dalam buku Internal Audit Capability Maturity Model terbitan Institite Internal Auditor, USA.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Riduan turut berpandangan sumbangan ini amat bermakna terutamanya buat pihak fakulti dan semoga sumbangan ini dapat dimanfatkan mahasiswa.  Manakala bagi Dzull Zabarrod pula, pihaknya amat menghargai sumbangan buku dan bahan penerbitan sebagai rujukan. Pihaknya amat menghargai jasa Allahyarham yang banyak menyumbang buku di perpustakaan universiti sejak beberapa tahun lalu.   

Selain daripada buku penulisan daripada kajian, terdapat juga buku teks, iaitu asas pengurusan operasi, consumer behaviour dan asas serta amalan pengurusan juga tesis mahasiswa sarjana penyelidikan dan kedoktoran turut disumbangkan.  

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri